BREAKING NEWS

Thursday, 19 April 2018

Empat Tonggak Teras Dalam Manifesto MIC


Berteraskan  ‘Malaysian Indian Blueprint’ yang dilancarkan tahun lepas, Parti MIC malam tadi melancarkan Manifesto mereka dalam Menghadapi Pilihanraya Umum ke -14 ( PRU14).
Empat tonggak iltizam menjadi teras manifesto berkenaan yang diharapkan dapat mentransformasikan masyarakat India selain menjamin keberkesanan pelaksanaan Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB) dan meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat India dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Empat tonggak iltizam dalam manifesto tersebut adalah untuk memenuhi keperluan asas, rumah mampu milik bagi masyarakat India; merealisasikan potensi setiap kanak-kanak; meningkatkan pendapatan dan kekayaaan serta peningkatan penyertaan sosial.
Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, manifesto khas untuk PRU-14 itu adalah jelas menunjukkan kematangan dan perubahan MIC selaras dalam menghadapi cabaran semasa.
“Mengambil kira cabaran dan keadaan semasa, ada keperluan untuk MIC membuat perubahan besar dalam cara kami untuk mengendali parti dan bagi menghadapi pilihan raya.
“Jika MIC tidak melakukan perubahan itu, ada kemungkinan parti ini hilang politik Malaysia. Sehubungan itu, MIC mesti memainkan peranan dengan membawa sokongan masyarakat India kepada Barisan Nasional (BN) dan manifesto ini diharap memenuhi keperluan masyarakat India secara keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap menyempurnakan pelancaran Manifesto PRU-14 Untuk Masyarakat India di Bangunan MIC di sini hari ini.
Sementara itu, katanya, sokongan masyarakat India kepada BN di seluruh negara ketika ini dilihat meningkat sehingga tahap 65 peratus berbanding sekitar 55 peratus pada pilihan raya umum yang lalu.
“Daripada kajian yang telah dijalankan, kadar sokongan masyarakat India kepada BN telah mencapai purata sekurang-kurangnya 65 peratus di seluruh negara.
“Ini merupakan petanda yang cukup baik dan kawasan seperti di Selangor dan Wilayah Persekutuan, sokongan masyarakat India kepada BN dilihat cukup tinggi. Saya yakin sokongan ini dapat memberi kesan kepada keputusan dalam PRU-14 di beberapa kerusi,” katanya
 
Copyright © 2014 PenangKini.