BREAKING NEWS

Monday, 9 April 2018

Gesa lakukan reformasi kedua




PULAU PINANG 8 April - Bekas ahli DAP, Teh Yee Cheu mengajak penduduk negeri ini melakukan ‘reformasi kedua’ pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Wakil rakyat Tanjung Bungah itu yang secara rasmi meninggalkan DAP semalam berkata, reformasi itu penting dalam memastikan wujudnya elemen semak dan imbang (check and balance) dalam pentadbiran kerajaan ne­geri.

Menurut beliau, lebih banyak suara pihak ketiga diperlukan di negeri ini supaya pandangan rakyat dapat didengari, selain mengelak wujudnya sikap monopoli dalam pentadbiran ne­geri.

“Sebab itu saya sangat me­ngalu-alukan pertandingan beberapa penjuru dalam PRU-14 dan berharap rakyat dapat membuat penilaian dengan bijak dalam menentukan wakil rakyat yang akan mewakili mereka,” katanya.

Beliau ditemui pemberita da­lam majlis pengumuman secara rasmi meninggalkan DAP dengan menyerahkan surat peletakan jawatan dan kad keahlian kepada Pengerusi DAP Cawangan Seri Tanjung Bungah, Lim Cheng Ho di sini hari ini.

Yee Cheu sebelum ini mengumumkan beliau akan meninggalkan DAP yang disertainya sejak tahun 2000 sebaik sahaja Parlimen dibubarkan selepas me­ngakui tidak lagi selari dengan perjuangan parti berkenaan khususnya dalam pentadbiran Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Beliau juga antara wakil rak­yat DAP yang lantang mengkritik pentadbiran kerajaan negeri khususnya ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk bersetuju supaya Ketua Menteri, Lim Guan Eng meletak jawatan kerana dituduh rasuah dan mendesak supaya jawatan Ketua Menteri dihadkan hanya dua penggal.

Ekoran kelantangannya itu, Yee Cheu ditekan kerajaan negeri dan pemimpin DAP termasuk di­sekat peruntukan bagi pusat ­khidmatnya, selain kakitangannya turut dipecat.

Ditanya mengenai hala tuju politiknya selepas ini, Yee Cheu berkata, beliau akan menyertai parti baharu yang akan diumumkan kelak dan bertanding kerusi DUN Sungai Pinang.

Tambahnya, keputusan berpindah dari DUN Tanjung Bungah ke Sungai Pinang kerana menghormati prinsipnya selama ini iaitu seseorang pe­mimpin tidak sepatutnya memegang jawatan melebih dua penggal.

“Selain itu, saya juga mahu mengelak daripada dikaitkan dengan DAP sekiranya terus bertanding di Tanjung Bungah termasuk dakwaan saya masih menggunakan dana atau sumber ketika bersama DAP,” katanya.

UTUSAN ONLINE
 
Copyright © 2014 PenangKini.