BREAKING NEWS

Thursday, 19 April 2018

Golongan Belia Tidak Harus Terikut Budaya Kebencian


Golongan belia tidak seharusnya terdedah dan mudah terikut-ikut dengan budaya kebencian yang cuba dipupuk oleh pihak tertentu dengan agenda tersembunyi, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata harapan negara banyak bergantung kepada golongan berkenaan untuk mempertahankan maruah negara khasnya untuk menangkis ancaman keselamatan dari luar.
“Selain belum bersedia, budaya kebencian yang ditanam dalam jiwa anak muda pada masa kini juga akan memberi kesan kepada golongan itu kemudian.
“Saya bimbang sangat budaya kebencian yang ditanam dalam jiwa sanubari anak muda kerana sebab-sebab tertentu,” katanya pada pemberita ketika hadir program bersama belia sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (Natsec) Asia 2018 di Pusat Pameran Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Acara di MITEC itu menghimpunkan kira-kira 1,500 syarikat berkaitan pertahanan dan 350 perwakilan dari 45 negara, antaranya Korea Selatan, China, Jepun, Australia, Pakistan, Rusia dan Indonesia.
Pameran empat hari bermula Isnin lepas itu dijangka menarik kunjungan 40,000 pelawat dan menjadi platform bagi pengurusan pertahanan dan keselamatan di seluruh dunia untuk bertukar-tukar idea, sambil memberi peluang kepada peserta industri memasarkan produk mereka.
 
Copyright © 2014 PenangKini.