BREAKING NEWS

Sunday, 1 April 2018

Guan Eng, Kit Siang tak sertai forum projek terowong Pulau Pinang



Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan bapanya, Lim Kit Siang tidak menyertai wacana membincangkan projek terowong dasar laut dan jalan raya bernilai RM6.3 bilion malam tadi.

Dua kerusi yang dikhaskan untuk mereka di Dewan Persatuan Tan Sri Eng Chuan Tong di Kampung Paya di sini kosong sepanjang forum “Political talk on Penang’s truth” berlangsung.

Guan Eng petang tadi menolak undangan ke forum itu, yang diadakan di kawasannya, Parlimen Bagan.

Kira-kira 800 orang tampil di forum yang menampilkan Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong dan Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional, Eric See-To, yang bercakap dan memberi ulasan panjang mengenai projek terowong itu.



Wacana dikendalikan dalam Mandarin dengan diselang-seli Bahasa Inggeris dan dialek Hokkien untuk hadirin yang kebanyakan dari tanah besar Pulau Pinang.

Wee dan See-To membentangkan pandangan mereka berkenaan projek terowong itu yang sebahagian besarnya ada dilaporkan dalam media.

Antara lain, Wee menyentuh tentang bagaimana kerajaan negeri menganugerahkan projek prasarana besar itu kepada sebuah syarikat 82 hari, bercanggah dengan dakwaan sebelum ini yang mengatakan syarikat bertujuan khas itu mempunyai modal berbayar RM4.5 bilion.

Sementara itu, See-To menunjukkan gambar tular Guan Eng bersama seorang ahli perniagaan yang ditangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan ke atas dakwaan bayaran RM19 juta untuk menghentikan siasatan ke atas projek itu.

Wee sebelum ini mencabar Guan Eng berdebat isu berkenaan projek terowong dan jalan raya itu, yang ditolaknya, kerana beliau mahu berdebat dengan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Projek prasarana itu sekali lagi menjadi perhatian BN susulan siasatan SPRM.

Sejak itu, kerajaan Pulau Pinang dan BN menghidupkan kembali isu yang hangat dibincangkan di Pulau Pinang pada 2013 dan 2014.

Terowong dasar laut sepanjang 7.2km itu akan menghubungkan Jalan Pangkor di George Town dan Bagan Ajam di Butterworth. Pembinaannya dijangka bermula pada 2023.

Tiga jalan raya itu pula dari Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (5.7km), Tanjung Bungah ke Teluk Bahang (10.53km) dan simpang Jalan Pangkor-Persiaran Gurney ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (4.1km).
 
Copyright © 2014 PenangKini.