BREAKING NEWS

Monday, 23 April 2018

Jangan cuba takutkan ahli UMNO


KEPALA BATAS: Setiap ahli UMNO dinasihatkan supaya terus fokus bekerja dan tidak gentar dengan tindakan pembangkang yang seolah-olah cuba menggugat kestabilan parti ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14(PRU-14).
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata Barisan Nasional (BN) membayangkan pembangkang bakal mengalami kekalahan besar pada PRU-14, menyebabkan mereka terpaksa menggunakan segelintir ahli UMNO untuk menakutkan ahli lain.
Berikutan itu, katanya, setiap ahli UMNO diminta tidak terpengaruh, sebaliknya terus fokus dengan memantapkan gerak kerja untuk menang, sekali gus membolehkan perjuangan membela agama dan bangsa Melayu dapat diteruskan.
"UMNO adalah parti politik yang sudah lama bertapak dan paling penting sentiasa mengikut perlembagaan serta undang-undang tanpa diragui lagi.
"Jadi, jangan sesekali datang dan cuba menakut-nakutkan ahli UMNO dengan menyatakan parti ini tidak sah," katanya ketika mengulas pemecatan 16 ahli UMNO yang memfailkan semakan kehakiman bagi membubarkan UMNO selepas Majlis Perasmian Program Memperkasa Ekonomi Kaum India di Sekolah Kebangsaan (SK) Hashim Awang, di sini, hari ini.
Sebelum itu, Reezal Merican yang juga Timbalan Menteri Luar turut merasmikan Program Jualan Bantu Rakyat di lokasi sama yang dikunjungi lebih 500 penduduk.
Sementara itu, Reezal Merican berkata, tindakan memecat ahli UMNO wajar dan ia termaktub mengikut undang-undang perlembagaan parti.
"Keputusan itu wajar apatah lagi UMNO adalah pertubuhan yang mempunyai perlembagaan parti terhasil berdasarkan pembelajaran daripada pengalaman lalu," katanya
Semalam, 16 ahli UMNO dari lima negeri dipecat selepas memfailkan semakan kehakiman bagi membubarkan UMNO di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.- BH
 
Copyright © 2014 PenangKini.