BREAKING NEWS

Friday, 13 April 2018

Jawatan Ketua Menteri Kekal milik komponen BN jika Menang

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini memberi jaminan akan melantik ketua menteri daripada komponen Barisan Nasional (BN) selain Umno, sekiranya mendapat mandat di Pulau Pinang pada pilihan raya umum ke-14.

Najib yang juga pengerusi BN berkata, BN tetap menghormati prinsip perkongsian kuasa dan di Pulau Pinang, konsep yang dipegang dari dahulu itu akan diteruskan.

“Jika kita mendapat mandat, ketua menteri bukan daripada Umno, tetapi daripada parti komponen…sebab nak berlaku adil,” katanya ketika berucap pada Majlis Jamuan Malam bersama Rakyat di SMK Teluk Kumbar hari ini.

Najib turut menyuarakan keyakinan akan berlaku perubahan memihak kepada BN di Pulau Pinang memandangkan rakyat negeri itu sudah merasai kesusahan selepas 2 penggal di bawah pemerintahan pembangkang.



“Saya buat kesimpulan ini, mungkin setelah 10 tahun berlalu, pengundi-pengundi telah boleh menilai prestasi pembangkang di Pulau Pinang…sama ada janji-janji mereka boleh ditunaikan atau permasalahan rakyat semakin hari semakin berat,” katanya.

Najib berkata, apa yang jelas, selepas 10 tahun di bawah pemerintahan DAP, masalah banjir di Pulau Pinang semakin teruk dengan berlaku banjir 120 kali dari 2013 hingga tahun lepas.

Selain itu, beliau berkata, rakyat juga sukar memiliki rumah kerana rumah mewah lebih banyak dibina berbanding rumah mampu milik.

“Insya Allah bila kita ada kuasa, kami akan bina 65,000 rumah mampu milik di Pulau Pinang dalam tempoh 5 tahun.”

Perdana menteri sekali lagi memberi jaminan projek tebusan tanah di Balik Pulau akan dibatalkan, jika BN diberi mandat di Pulau Pinang.

Beliau berkata, kerajaan persekutuan sememangnya tidak bersetuju dengan projek tebusan tanah melalui kajian impak alam sekitar.

“Kerajaan persekutuan tidak perlu projek tebusan tanah untuk laluan rel pantai timur (ECRL), Transit Aliran Massa (MRT) dan projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR). Jadi, tak mahu projek tebusan tanah, berilah sokongan padu kepada BN.”

Pada majlis itu, Najib turut merasmikan projek lampu jalan kampung di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta Tenaga Nasional Bhd.
 
Copyright © 2014 PenangKini.