BREAKING NEWS

Friday, 20 April 2018

Kerajaan Pulau Pinang gagal tepati lapan janji

Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang hari ini menempelak kerajaan negeri yang didakwa gagal melaksanakan lapan janji membabitkan pembinaan kemudahan pengangkutan awam Transit Aliran Ringan (LRT) di negeri itu.

Pengerusi BN negeri, Teng Chang Yeow, berkata tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang yang tidak menunaikan janji kepada rakyat itu membuktikan mereka layak digelar 'kerajaan negeri yang paling gagal' di negara ini.

Beliau berkata, sejak 2008 kerajaan negeri berjanji untuk mengembalikan sistem trem, membina monorel dari Pulau Pinang ke Butterworth, membina projek Transit Aliran Massa (MRT) bawah tanah, membina LRT, selain pembinaan kereta kabel SkyCab.

"Inilah antara janji-janji kerajaan negeri yang gagal ditepati. Kerajaan negeri mungkin lupa dengan semua ini, tetapi kita tidak lupa. Malah kita menyenaraikan 51 janji yang mereka gagal tunaikan sejak 10 tahun lalu," katanya pada sidang media di Pejabat GERAKAN negeri, di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Menteri, Lim Guan Eng, dilaporkan mengutuk Manifesto BN Pulau Pinang yang didakwa tidak mengandungi janji untuk membina sistem pengangkutan awam yang efisyen, termasuk pembinaan LRT.

Manifesto BN negeri yang mengandungi enam teras utama dan 60 insentif itu dilancarkan Chang Yeow di sebuah hotel di Seberang Jaya pada Ahad lalu.



Antara tawaran yang mendapat perhatian utama adalah pembatalan projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer, yang menghubungkan antara Persiaran Gurney dan Bagan Ajam di Butterworth.

Sementara itu, Chang Yeow berkata, BN negeri mampu membatalkan projek terowong dasar laut tanpa membayar pampasan, jika diberi mandat untuk mentadbir Pulau Pinang pada PRU-14.

Katanya, perkara itu boleh dilakukan berikutan modal berbayar syarikat tujuan khas (SPV) bagi projek itu tidak menepati piawaian ditentukan, iaitu RM381 juta ketika pemberian kontrak oleh kerajaan negeri pada Mac 2013.

"Selapas lima tahun menandatangani kontrak, tiada sebarang usaha pun untuk memulakan projek mega berkenaan, dan ini termasuklah kajian kebolehlaksanaan yang sudah melepasi tarikh akhir," katanya.

Pada 2015, kerajaan DAP Pulau Pinang mengumumkan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) yang merangkumi pembinaan kemudahan pengangkutan awam LRT, tiga lebuh raya berkembar dan projek terowong dasar laut.

Pelan itu turut membabitkan pembinaan tiga pulau buatan di selatan Pulau Pinang, yang masing-masing berkeluasan 809 hektar, 526 hektar dan 324 hektar bagi tujuan perindustrian, perumahan serta komersial untuk membiayai kos PIP.



 
Copyright © 2014 PenangKini.