BREAKING NEWS

Tuesday, 3 April 2018

Kertas siasatan Guan Eng siap

GEORGETOWN - Kertas siasatan berhubung kes Ketua Menteri, Lim Guan Eng menyanyikan lagu anti cukai barangan dan perkhidmatan (GST) di hadapan kanak-kanak di Jelutong, 17 Mac lalu telah diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Pulau Pinang, petang tadi. 

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A Thaiveegan berkata, kes yang disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 itu diserahkan petang tadi untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Pulau Pinang akan menyemak kertas siasatan itu bagi menentukan keputusan atau tindakan seterusnya yang perlu diambil sekiranya perlu.


“Kertas siasatan sudah siap dan polis telah menyerahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk membuat keputusan di samping mengeluarkan arahan seterusnya jika ada.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,00 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan diteruskan selepas sabitan,” katanya.

Kelmarin, polis merakamkan percakapan Guan Eng berhubung isu nyanyian lagu anti GST yang dinyanyikan di hadapan kanak-kanak ketika merasmikan sebuah pusat tuisyen percuma di Jelutong, dua minggu lalu.

Guan Eng yang ditemani peguamnya, RSN Rayer diambil keterangan oleh dua pegawai polis dari Bahagian Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di Pejabat Ketua Menteri, Komtar kira-kira jam 2.50 petang semalam.
 
Copyright © 2014 PenangKini.