BREAKING NEWS

Friday, 6 April 2018

Manifesto BN ada 14 teras, 300 inisiatif

PUTRAJAYA: Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang akan dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam esok, adalah satu manifesto yang menyentuh semua strata rakyat Malaysia melalui 14 teras dan 300 inisiatif digariskan.

Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata ia juga adalah manifesto yang komprehensif dan inklusif kerana disediakan berdasarkan idea diperoleh melalui proses 'engagement' diadakan dengan pihak berkepentingan termasuk parti komponen, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan serta orang ramai.

Beliau berkata, pihaknya banyak mengadakan sesi perahan idea secara tertutup dan mengambil beberapa perkara penting sebelum dimasukkan dalam 14 teras utama manifesto kali ini yang bertemakan 'Bersama BN Hebatkan Negaraku'.

"Malah, ada beberapa inisiatif dalam manifesto ini yang tidak pernah disebut dalam mana-mana dokumen kerajaan khususnya yang berkaitan dengan gaji dan pendidikan," katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Abdul Rahman yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkata, manifesto berkenaan tidak boleh dibaca secara berasingan, sebaliknya perlu dibaca bersama dokumen penting kerajaan yang lain termasuk Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11), Bajet Tahunan Kerajaan, Program Transformasi Nasional (NTP) dan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

"Manifesto ini akan menyentuh semua lapisan masyarakat termasuk pelajar, belia, warga emas, orang kurang upaya (OKU), veteran, wanita, orang muda dan sebagainya.

"Tiada siapa terlepas termasuk rakyat Sabah dan Sarawak akan mendapat nikmat secara terus daripada kerajaan," katanya.

Beliau berkata, manifesto itu turut diterjemahkan kepada enam bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Tamil, Cina, Iban dan Kadasan-Dusun serta dikeluarkan dalam lima versi iaitu buku, booklet, laman web, risalah dan mini booklet.

"Kali ini kita akan lebih kepada format digital supaya dapat kurangkan penggunaan kertas," katanya.

Abdul Rahman berkata, antara inisiatif yang akan ditekankan dalam manifesto itu adalah penentuan paras gaji pekerja sektor swasta supaya lebih setimpal, pemberian kad diskaun perjalanan bagi pengangkutan awam tanpa had selama sebulan kepada warga emas, OKU, pelajar serta belia bekerja.

Beliau berkata, inisiatif lain termasuk memperkasakan ekosistem industri perumahan supaya rakyat bukan saja mampu memiliki rumah berpatutan, malah hak mereka sebagai pemilik rumah turut dipelihara dengan mewujudkan satu entiti tunggal untuk memantau isu perumahan termasuk pemantauan pembinaan.

Katanya, inisiatif lain ialah memperkukuhkan dan mempromosikan dialog kebersamaan dan persefahaman antara kaum di Malaysia dan kali ini fokus khusus untuk bukan Islam.

"Selain itu, inisiatif untuk meningkatkan dan melonjakkan lagi tahap pendidikan rakyat di Sabah dan Sarawak serta menyeragamkan harga barangan tertentu di Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.

"Inisiatif lain ialah mewujudkan mekanisme baharu untuk rakyat menyuarakan pandangan dan kritikan mereka terhadap dasar kerajaan," katanya.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

FOR GRAFIK - 14 Teras Manifesto BN

1. Ekonomi Keperluan Rakyat

2. Kemampanan dan Kemakmuran Ekonomi Negara

3. Perumahan Keperluan Rakyat

4. Pemacuan Modal Insan dan Kecemerlangan Pendidikan

5. Keselamatan Rakyat Keutamaan Kami

6. Membahagia dan Menjayakan Wanita Negara

7. Generasi Muda Pewaris Masa Hadapan

8. Kesejahteraan Generasi Emas dan Warga Kelainan Upaya

9. Memperkukuhkan Pembinaan Negara Bangsa

10. Mengutamakan Kesejahteraan Sosial dan Kualiti Hidup Rakyat

11. Membina Infra Rakyat dan Meningkatkan Kesalinghubungan

12. Memperkukuh Agenda Bumiputera dan Mempertahan Kesyumulan Islam

13. Tabdir Urus Yang Baik dan Penyertaan Rakyat

14. Meraikan Perbezaan, Merapatkan Jurang
 
Copyright © 2014 PenangKini.