BREAKING NEWS

Tuesday, 3 April 2018

Manifesto BN bukan untuk bersaing - Reezal Merican

KEPALA BATAS: Manifesto Barisan Nasional (BN) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Sabtu ini bukan bersifat untuk bersaing, sebaliknya untuk mensejahterakan kehidupan rakyat.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata manifesto yang akan dibentangkan itu diyakini tidak memperdagangkan kehidupan rakyat.

Beliau berkata, BN tidak berjanji perkara yang tidak mampu dilaksanakan, tetapi jika ada perkara baharu ia akan ditunaikan mengikut kemampuan pada ketika itu.

"Mengikut rekod selama 60 tahun, kita menunaikan semua janji dibuat dalam manifesto diumumkan.

"Kali ini, kita juga akan terus menjanjikan perkara yang hanya mampu kita tunaikan demi kesejahteraan rakyat dan bukan untuk bersaing dengan Pakatan Harapan (PH) yang hanya tahu berjanji tetapi sehingga sekarang ia tidak tertunai," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Motosikal kepada 63 usahawan muda yang terbabit dalam Program Usahawan Bergerak (Mobilepreneur) di sini, hari ini.

BN bakal melancarkan manifesto secara besar-besaran pada Sabtu ini, sekali gus memberi bayangan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) diadakan tidak lama lagi.

Pelancaran manifesto itu bakal diadakan di Stadium Putra, Bukit Jalil yang lebih besar berbanding di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara.

Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, manifesto BN yang dibentangkan Najib itu juga akan ditambah baik mengikut keadaan semasa rakyat.

"Kita akan lihat jika ada yang kurang kepada kelompok isi rumah berpendapatan rendah (B40), kita akan bantu dengan lebih baik termasuk golongan petani dan nelayan," katanya. - BH

 
Copyright © 2014 PenangKini.