BREAKING NEWS

Sunday, 8 April 2018

Manifesto BN terbaik dalam sejarah, komprehensif, realistik - Salleh Keruak

KUALA LUMPUR: Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang menggariskan 364 inisiatif dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak malam tadi yang terbaik dalam sejarah.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, manifesto setebal 220 muka surat itu ialah dokumen komprehensif kerana menjanjikan inisiatif untuk dilaksanakan, termasuk memberi perhatian kepada permintaan rakyat Sabah dan Sarawak.

“Malam tadi, saya turut berada di stadium (Axiata Arena), Bukit Jalil mendengar pengumuman pengerusi BN memperkenalkan manifesto BN dalam menghadapi PRU 2018.

“Reaksi segera saya setelah mendengar ucapan tersebut ialah agendanya realistik, manifestonya terbaik, komprehensif dan praktikal untuk rakyat Malaysia,” katanya dalam catatan blognya.

Salleh yang juga bendahari agung Umno menyifatkan tepukan dan sorakan ahli parti malam tadi adalah sorakan keyakinan rakyat kepada manifesto BN kerana parti itu terbukti mampu menunaikan 99.4% janjinya dalam PRU 2013.

Beliau turut teruja dengan cara Najib selaku pengerusi parti membentangkan manifesto BN berbanding cara sebelumnya, iaitu membentangkannya dengan mengangkat keperluan setiap negeri secara adil dan menyeluruh.

Dalam manifesto bertajuk “Bersama BN Hebatkan Negaraku”, antara lain menjanjikan komitmen memberi tambahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada golongan sasar, menurunkan had kadar faedah dan caj lewat bayar kad kredit, mengurangkan kos langganan jalur lebar 50% dan menggandakan kelajuan.

Manifesto itu turut mengangkat peningkatan bantuan RM500 untuk bayi baru lahir di bawah program ADAM50 (Skim Amanah Dana Anak Malaysia 2050), 7 hari cuti tahunan bagi golongan ibu untuk menjaga anak sakit, memperkenalkan sekolah aliran Inggeris di Sabah dan Sarawak sebagai projek rintis, memenuhi Perjanjian Malaysia 1963 berdasarkan konsensus, menghapuskan harga berbeza untuk Semenanjung Malaysia dan Sabah-Sarawak serta memperkasa komuniti Dayak dan Kadazandusun.

“Setelah menelitinya, saya menilai manifesto BN adalah terbaik dan berjaya menenggelamkan manifesto Pakatan Harapan (PH).

“Dengan manifesto sebaik ini, ini membuktikan BN parti yang menitikberatkan kepentingan rakyat bagi membolehkan rakyat menikmati kehidupan lebih baik,” kata Salleh.

Manifesto PRU14 menawarkan 14 teras, iaitu Utama Ibu dan Wanita; Kediaman 1Negaraku; Tiga Juta Kerja; Senyum Sabah dan Sarawak; Pengangkutan Futuristik; Perkasa Digital; Barangan Malaysia; BR1M Lebih Baharu; Dompet Rakyat; Pendidikan Sesuai Masa Depan; Hidup Sihat; Aman 1Negaraku; TN50 dan Penjagaan Kanak-kanak Universal.
 
Copyright © 2014 PenangKini.