BREAKING NEWS

Sunday, 8 April 2018

#ManifestoBN Barisan Nasional janji naikkan kadar BR1M jika menang PRU14

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berjanji menaikkan kadar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan menambah satu lagi kategori penerima skim bantuan tunai itu, jika Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya umum ke-14.

Pengerusi BN itu berkata, janji itu mampu dipenuhi kerana ekonomi negara yang semakin kukuh serta peningkatan hasil kutipan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

“GST ini yang dikutuk pembangkang. Kerajaan BN kongsi nikmat ini pada rakyat dan saya suka buat 4 pengumuman malam ini,” katanya ketika mengumumkan manifesto BN malam ini.

Najib berkata, kadar BR1M untuk isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah akan dinaikkan daripada RM1,200 kepada RM2,000.

“Mereka akan terima pada Jun dan Ogos yang masing-masing akan digandakan RM400 kepada RM800.”

Katanya, isi rumah berpendapatan RM4,000 ke bawah pula akan menerima BR1M berjumlah RM1,500 berbanding RM900 ketika ini.

“Akan terima pada Jun dan Ogos dan digandakan daripada RM300 kepada RM600.”

Beliau berkata, bagi orang bujang berpendapatan RM2,000 ke bawah, kadar BR1M mereka akan ditambah RM150 kepada RM600, berbanding RM450 sekarang.

Najib berkata, kerajaan juga bercadang menambah satu lagi ketegori baharu untuk isi rumah berpendapatan RM4,000 hingga RM5,000 yang akan mendapat RM700.

Katanya, bayaran akan dibuat sebanyak 2 kali, iaitu Jun dan Ogos.

“Manakala RM1,500 diberi kepada anak penerima BR1M yang menyambung pelajaran ke pengajian tinggi.”
 
Copyright © 2014 PenangKini.