BREAKING NEWS

Sunday, 8 April 2018

#ManifestoBN BarisanNasional pertimbang sekolah aliran Inggeris di Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) berjanji akan mempertimbangkan untuk memperkenalkan semula sekolah aliran Inggeris di Sabah dan Sarawak menerusi manifesto pilihan raya umum ke-14 yang diumumkan malam ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak bagaimanapun berkata, cadangan itu tidak akan dilaksanakan sepenuhnya, tetapi sebagai percubaan untuk melihat keberkesanannya.

“Kita akan memulakan projek perintis sekolah menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantara. Tetapi, komponen bahasa kebangsaan tetap tidak dipinggirkan,” katanya di depan ribuan ahli BN di Stadium Axiata, Bukit Jalil.

Najib memberi jaminan rancangan itu tidak akan menjejaskan kepentingan sekolah aliran lain.

Beliau turut mengulangi komitmen terhadap Perjanjian Malaysia 1963 untuk mengembalikan hak rakyat Sabah dan Sarawak, termasuk penyeliaan bekalan elektrik dan gas.

Katanya, BN akan memastikan sasaran nisbah guru di Sabah dan Sarawak mencapai 90% anak tempatan, manakala baki 10% pendidik dari Semenanjung.

“Kini sudah capai 87% dan hampir sampai kepada janji kita pada rakyat Sabah.”

Beliau berkata, BN juga berikrar meneruskan Lebuhraya Pan Borneo dengan perbelanjaan RM40 bilion.

“Kita juga akan membina lebuh raya tidak ada tol dan akan menambah lagi tanah-tanah adat dan ‘perimeter survey’.”
 
Copyright © 2014 PenangKini.