BREAKING NEWS

Sunday, 8 April 2018

#ManifestoBN Janji Barisan Nasional untuk 14 negeri


Barisan Nasional (BN) berjanji akan terus memperjuangkan nasib rakyat berbilang kaum di negara ini dan tiada negeri yang ketinggalan dalam pembangunan menerusi aku janji khas untuk 14 negeri.

Menerusi manifesto bertemakan “Bersama BN Hebatkan Negaraku” yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Stadium Axiata, Bukit Jalil, malam tadi, BN berjanji akan menyelesaikan masalah bekalan air di Selangor, jika berjaya menawan negeri itu.

BN berjanji akan menyediakan 65,000 rumah mampu milik untuk rakyat Pulau Pinang, manakala “Zon Ekonomi Khas” akan diwujudkan di Bukit Kayu Hitam, Kedah.


Najib berkata, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari jajaran Yong Peng ke Johor Bahru akan dinaik taraf daripada 4 lorong kepada 6 lorong.



Di Melaka, katanya, BN akan membina lebuh raya baharu dari Kuala Linggi-Masjid Tanah-Klebang-Teluk Mas untuk menyelesaikan masalah kesesakan disebabkan pembangunan pesat.

Lembah Wawasan Malaysia (MVV) yang merupakan projek terbesar di Negeri Sembilan di bawah pentadbiran Najib juga akan diperhebatkan lagi.


BN turut menjanjikan pembinaan sebuah lapangan terbang baharu di Seri Iskandar, Perak Tengah.
Katanya, projek Lembangan Sungai Perlis akan dilaksanakan dari Kangar ke Kuala Perlis.
Najib berkata, BN akan membina lebuh raya baharu yang menyambungkan Kuala Nerus di Terengganu ke Kelantan.

BN juga berjanji akan mempercepatkan pembinaan lebuh raya dari Gua Musang ke Kota Bharu.
Untuk Pahang, Najib berikrar akan menambah peruntukan rumah mampu milik, kos rendah dan rumah untuk peneroka generasi kedua Felda.

Beliau berkata, lebih banyak projek pembaharuan dan pembangunan semula bandar seperti Projek Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip) akan dibina dalam 5 tahun akan datang di Wilayah Persekutuan.

Tidak terkecuali ialah Sabah dan Sarawak, di mana pengerusi BN itu berjanji akan mengembalikan hak 2 negeri itu mengikut Perjanjian Malaysia 1963.




 
Copyright © 2014 PenangKini.