BREAKING NEWS

Monday, 16 April 2018

Mara terus wujud selagi Umno, BN berkuasa, kata Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan terus wujud selagi Umno dan Barisan Nasional (BN) berkuasa.

Perdana menteri dalam ucapannya di Majlis Himpunan Saya Anak Mara petang tadi memberikan 4 sebab Mara akan terus wujud dan berkembang sebagai institusi kebangsaan Bumiputera.

“Pertama, kewujudan Mara begitu dekat di hati saya sebab pengasas Mara tidak lain tidak bukan adalah, Tun Abdul Razak Hussein, ayahanda saya.


“Maka pada diri saya Mara sebati dengan perjuangan allahyarham, dengan keluarga Tun Razak, dan saya sebagai anaknya sudah pasti akan meneruskan kesinambungan perjuangannya,” katanya di Institut Teknologi Penerbangan Malaysia di Universiti Kuala Lumpur.

Najib seterusnya berkata kewujudan Mara mempunyai kaitan dengan perlembagaan partinya, Umno.

“Dalam fasal tertulis dengan jelas bahawa hak-hak Melayu dan Bumiputera akan terus diperjuangkan dan Mara wahana yang penting untuk merealisasikan perjuangan orang Melayu dan Bumiputera.

“Ketiga, dasar Bumiputera dan agenda Melayu agenda nasional.

“Keempat, jutaan anak Mara yang sebahagian besar memegang jawatan penting merupakan asas Umno dan BN. Kalau kita nak tergelincir daripada perjuangan tersebut maka saya percaya jutaan anak-anak Mara tak izinkan perkara sedemikian,” katanya.

Najib berkata pendirian Umno berbeza dengan pembangkang, yang menurutnya melihat institusi Melayu-Bumiputera tidak selaras dengan konsep “Malaysian Malaysia”.

“Sebab itu amat penting bagi kita untuk pastikan tidak berlaku Tsunami Melayu…kononnya itulah akan cuba dilakukan oleh mereka.”
 
Copyright © 2014 PenangKini.