BREAKING NEWS

Tuesday, 10 April 2018

MCA umum aku janji 10 perkara pastikan manifesto BN berkesan


KUALA LUMPUR: MCA hari ini menzahirkan 10 aku janji dan 10 inisiatif dalam manifestonya bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14), dengan inisiatif memperkasakan golongan belia sebagai tonggak utama.

Manifesto itu dilancarkan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai di Wisma MCA hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Ong Ka Chuan.

“Manifesto MCA untuk PRU14 adalah inisiatif parti untuk memastikan manifesto Barisan Nasional (BN) dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan tiada seorang pun, tanpa mengira kaum, akan diketepikan.


“Oleh itu, kami akan melakukan yang terbaik dan kami memberi jaminan kepada masyarakat Cina dan semua rakyat di negara ini, kami akan melaksanakan manifesto ini,” kata Liow pada sidang akhbar selepas pelancaran itu.

Sepuluh aku janji itu termasuk janji untuk memperkasakan golongan belia dan wanita dengan menawarkan peluang perniagaan baharu dan latihan kerja untuk membangunkan kemahiran keusahawanan sejajar Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan memanfaatkan hubungan dengan China dengan membuka peluang perniagaan, perdagangan dan pelaburan di negara itu serta usahawan China.

Dalam manifesto itu, MCA berjanji melakukan transformasi perniagaan tradisional, terutama perusahaan kecil dan sederhana, termasuk industri kotej dan entiti perniagaan rumah, untuk mengambil peluang gelombang e-dagang dalam memperbaiki kehidupan kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana.

Selain itu, MCA juga berjanji mentransformasikan kampung baru kepada pusat bandar baharu dengan mempromosikan e-dagang, pertanian moden dan pelancongan ekobudaya.

Selain menzahirkan 10 aku janji itu, MCA juga menggariskan 10 inisiatif untuk dilaksanakan jika parti itu diberi mandat pada PRU14.

Sepuluh inisiatif itu termasuk usaha untuk menubuhkan Unit Pemantauan Pusat atau Biro yang terdiri daripada ahli akademik, profesional, usahawan dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan untuk memantau dasar kerajaan, rancangan serta program kerajaan untuk memastikan pelaksanaan adil dan berkesan.

Parti itu juga akan mengambil inisiatif untuk menubuhkan majlis ekonomi digital dan inovasi untuk menggalakkan perniagaan tradisional, terutama industri kecil dan sederhana merebut peluang serta menerapkan budaya e-dagang dan revolusi digital.

Bagi pendidikan tinggi bertaraf dunia, Universiti Tunku Abdul Rahman akan menubuhkan hospital pengajar di Kampar, Perak untuk menawarkan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti dan berpatutan, selain meningkatkan keupayaan universiti bagi pengajian pasca siswazah.
 
Copyright © 2014 PenangKini.