BREAKING NEWS

Thursday, 19 April 2018

Mengapa tiba-tiba DAP jadi baik

Persepsi Dr Mahathir mengenai DAP sebelum ini lenyap dalam usaha mengajak parti itu menumbangkan Najib Razak.

DAP tiba-tiba baik. Sanggup menggunakan 1 logo untuk bertanding di bawah nama PKR. tidak lagi “cauvinis”, bukan lagi ekstremis, parti berbilang kaum, menempatkan Melayu sebagai wakil DAP dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14), bertoleransi dan akan turut memperjuangkan agenda Melayu.

Lebih 22 tahun menghentam dan memaklumkan DAP adalah musuh dengan semua kriteria yang disebut-sebutkan, hari ini persepsi itu berubah.

Sering ada perbincangan atau cungkilan isu mengenai perkauman di negara ini. Isu DAP sebagai “cauvinis” Cina semakin dahsyat menjelang PRU.

Untuk memastikan undi Melayu kekal pada Barisan Nasional (BN)/Umno, kepimpinan Umno khususnya sering menyelar DAP dengan agenda “Malaysian Malaysia” dan mahu menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera demi untuk undi.

Tun Dr Mahathir Mohamad selama menerajui Umno menyelar DAP sebagai “cauvinis” Cina yang mempunyai hasrat tidak menguntungkan orang Melayu, menuntut hak keistimewaan orang Melayu dihapuskan dan secara tidak langsung mahu kesamarataan hak diwujudkan.

Persoalan agama Islam sering dibangkitkan atas usaha mempersoalkan niat DAP dengan motif mereka.

Ini berlaku selama Dr Mahathir memerintah dan menerajui Umno.

Tiba-tiba DAP baik. Semua kerana Datuk Seri Najib Razak, DAP terus bersih dan pulih dari apa yang dikatakan sebelum ini.

Dr Mahathir mengakui hari ini DAP baik. Agenda “Malaysian Malaysia” seakan sempurna dan tepat dan boleh diterima sebagai agenda suci dan bertoleransi.

DAP tidak lagi menjadi “cauvinis” Cina yang sebelum ini dilaung-laungkan.


Mereka bukan lagi ekstremis Cina yang berani mempersoalkan hak orang Melayu, bukan lagi ekstremis Cina yang berani mempersoalkan mengenai kesamarataan hak dan bukan melihat dari sudut keadilan sosial.

Dasar Ekonomi Baru yang dikatakan ditentang oleh DAP dan dipertahankan oleh Dr Mahathir, menjadi agenda kempen untuk meningkatkan kegusaran Melayu terhadap DAP.

Maka semua yang dikatakan Dr Mahathir sebelum ini mengenai DAP betul mengenai “cauvinis” Cina (sewaktu menerajui Umno) adalah salah selepas keluar dari Umno dan mencabar BN.

Semua berubah


Namun perubahan hari ini oleh Dr Mahathir, yang selama ini mencerca DAP adalah satu tindakan hipokrasi politik semata-mata.

Persepsi Dr Mahathir mengenai DAP sudah senyap dalam usaha mengajak DAP menumbangkan Najib.

Tiba-tiba baik. Berkali-kali dan jelas hari ini Dr Mahathir dan Lim Kit Siang sudah mula berbaik.

Bagi Dr Mahathir segala dakwaan beliau mengenai DAP sebelum ini serong belaka, namun bagi DAP perjuangan menuntut hak Cina untuk agenda “Malaysian Malaysia” masih diteruskan.

Asalkan usaha bersama menjatuhkan Najib berjaya, yang lain belakang kira.


Semuanya kerana hasrat


Hasratnya hanyalah mahu menumpaskan Najib. Kalau ini alasannya, adakah tidak mungkin mereka berpecah semula atas perbezaan agenda.

Adakah tidak mungkin, sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang, persengketaan politik kalangan mereka akan berlaku kembali. Lantas kestabilan politik kita akan tercemar lagi. Tidak ada siapa yang akan rugi kecuali kita.

Kalau dilihat apa bezanya MCA dan DAP. Tidakkah kelihatan MCA lebih berkompromi dan bertoleransi bila dalam membicarakan persoalan perkauman.

Adakah MCA nampak lebih menghormati apa yang termaktub dalam perlembagaan mengenai Melayu dan Bumiputera.

Tidak nampak sikap ekstremisme dalam MCA berbanding dengan DAP.

Persoalannya Umno/BN masih terus konsisten meragui apa yang tersirat dalam agenda DAP sedangkan PH yang diterajui Dr Mahathir berubah kerana niat.

Masing-masing pasti ada hasrat tersendiri. Pakatan ini adalah semata-mata pakatan sementara dan kalau disimpulkan masing-masing mahu memperkuda sesama sendiri.

Adakah ini sesuai untuk kita rakyat Malaysia menerimanya.

Ada yang mengatakan kita belum tahu lagi bagaimana mereka akan mentadbir negara tetapi sindrom apa yang akan berlaku tidak dapat dinafikan menuju pergolakan antara PH.

Adakah kita mahu menggadai nasib negara semata-mata mahu mencuba.

Apa pun hari ini, DAP tiba-tiba baik kerana matlamat politik individu bernama Dr Mahathir.

Juga kerana hasrat dan matlamat Dr Mahathir dilihat baik oleh pakatan lain dalam PH setelah apa yang dilakukan beliau sewaktu berkuasa dahulu.

Rakyat perlu sedar dan jangan terpedaya mengenai kempen menjelang PRU14.

Oleh Zaini Jusuh/FMT

 
Copyright © 2014 PenangKini.