BREAKING NEWS

Monday, 30 April 2018

Nelayan Pulau Pinang kemuka 11 syarat untuk sokongan


GEORGE TOWN: Nelayan di Paramount, Persiaran Gurney, Tanjung Tokong, Tanjung Bungah-Teluk Bahang hari ini mengemukakan 11 tuntutan kepada bakal Ahli Parlimen dan DUN kawasan itu.

Jurucakap nelayan, Syahifah Hawa Zamzuri, 29, berkata antara tuntutan itu ialah supaya kawasan nelayan Tanjung Tokong dan Tanjung Bungah diiktiraf sebagai perkampungan warisan; menyediakan pelan induk bagi nelayan pantai; mengkaji semula dan menambah baik cara meluluskan lesen nelayan serta menilai semula kesan alam sekitar bagi projek Seri Tanjung Pinang (STP) 1, STP2 dan Gurney Wharf.

Tuntutan lain ialah supaya semua pembangunan di kawasan itu perlu berasaskan inspirasi nelayan; menolak sebarang projek baharu tebus guna tanah; kerajaan negeri perlu mencari langkah alternatif untuk menjana ekonomi dan bukannya bergantung kepada kegiatan tebus guna dan menjual tanah serta memantau aktiviti penangkapan ikan secara haram.


Mewujudkan pelan strategik bagi komuniti nelayan pantai; memulihara dan memelihara kawasan bakau yang musnah akibat aktiviti tebus guna tanah serta penubuhan jawatankuasa tindakan untukmemantau semua isu alam sekitar juga disenaraikan dalam tuntutan tersebut.

“Bagi mana-mana ahli politik yang boleh memenuhi tuntutan yang kami suarakan hari ini, kami akan memberi undi kami kepada mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini,” katanya semasa forum serta sidang media hari ini.

Persiaran Gurney, Unit Paramount dan Tanjung Tokong berada dalam kawasan DUN Pulau Tikus manakala Tanjong Bunga di bawah DUN Tanjong Bunga.

Kedua-dua kerusi DUN itu berada dalam kawasan Parlimen Bukit Bendera dan kesemua kerusi tersebut dimenangi DAP sejak PRU12 pada 2008 ketika peralihan pentadbiran kerajaan negeri kepada parti pembangkang.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow yang akan bertanding di kerusi DUN Tanjong Bunga berkata tuntutan yang dibuat golongan nelayan itu adalah munasabah dan boleh direalisasikan sekiranya BN merampas semula Pulau Pinang daripada pembangkang.

“Kita akan menilai semula Penilaian Terperinci Kesan Alam Sekitar (DEIA) bagi projek tebus guna tanah dan memastikan semuanya dilaksanakan mengikut kaedah yang betul,” katanya.

Teng diiringi Jason Loo Jieh Sheng yang akan bertanding di kerusi DUN Pulau Tikus serta calon lain hadir bersama wakil nelayan semasa forum itu - FMT


 
Copyright © 2014 PenangKini.