BREAKING NEWS

Thursday, 5 April 2018

Parti Pribumi Bersatu Malaysia Bubar


PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) hari ini mengarahkan pembubaran sementara PPBM, menurut sumber parti yang mengesahkan menerima surat mengenai perkara itu hari ini.

Surat itu dipercayai berkait dengan kegagalan parti itu membekalkan dokumen di dalam tempoh masa yang diberikan sebelum ini.

Ia turut merujuk kepada kuasa Pendaftar di bawah Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966, untuk mengeluarkan perintah “pembubaran sementara” sesebuah pertubuhan sekiranya gagal membekalkan butiran yang diperlukan.

JPPM akan mengadakan sidang media hari ini bagi mengumumkan keputusannya secara rasmi.

Keputusan itu seminggu selepas PPBM menyerahkan maklumat dan dokumen yang dikehendaki JPPM pada 29 Mac lalu, sehari sebelum tarikh akhir.

Dokumen itu ada kaitan dengan notis JPPM mengikut Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan, yang merujuk minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta perihal penyata kewangan parti.

Ia susulan aduan ahli parti itu mengenai perhimpunan agung tahunan (AGM) pertamanya pada akhir Disember lalu.

JPPM sebelum itu berkata, kegagalan PPBM mengadakan AGM sebagai salah satu sebab pendaftaran Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai parti itu tidak diluluskan sejak Julai 2017.

Susulan itu, PPBM mengadakan AGM pertama di Shah Alam pada 30 Disember lalu, lebih setahun selepas ia didaftarkan pada September 2016.

Pada 9 Mac lalu, Ketua Pengarah JPPM, Surayati Ibrahim berkata, satu notis berkuat kuasa 28 Februari lalu diserahkan kepada Setiausaha Agung PPBM, Datuk Shahruddin Md Salleh.

Notis itu mengkehendaki PPBM menjawab serta menyerahkan semua maklumat dan dokumen, seperti minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta perihal penyata kewangan parti, kepada JPPM dalam tempoh 30 hari.

PPBM yang dipengerusikan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad diasaskan pada 2016, dengan presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin, setahun selepas beliau dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri.

Ia susulan tindakan Muhyiddin mempersoalkan wang RM2.6 bilion yang dijumpai di dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak, yang dikaitkan dengan 1MDB. Najib bagaimanapun berkata wang tersebut merupakan derma kepada Umno oleh kerajaan Arab Saudi.

Parti itu merupakan antara 4 parti dalam gabungan Pakatan Harapan, di samping PKR, DAP dan Amanah.







 
Copyright © 2014 PenangKini.