BREAKING NEWS

Saturday, 21 April 2018

Pelan rasionalisasi 1MDB berjaya, kata Arul Kanda



KUALA LUMPUR: Pelan rasionalisasi 1MDB berjaya dan telus sepenuhnya, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Arul Kanda Kandasamy.

“Sejak 3 tahun lepas, pembangkang telah mempolitikkan isu perniagaan ini untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokratik. Malang bagi mereka, rancangan rasionalisasi dalam jagaan saya, berjaya,” katanya.

Dalam temu bual dengan Martin Soong dan Oriel Morrison dari Street Signs Asia CNBC Asia hari ini, Arul Kanda berkata, syarikat itu meneruskan penglibatan media kerana ia benar-benar telus, serta sentiasa dan secara terang-terangan menjelaskan kepada masyarakat mengenai isu pelaburan kerana ia mempunyai bon didagangkan secara umum berjumlah AS$7.75 bilion (AS$1 = RM3.89) di pasaran.



“1MDB memulakan pelan rasionalisasi pada 2016 untuk menjana keuntungan ke atas aset syarikat dari semasa ke semasa dan memenuhi obligasi hutangnya. Sehingga kini, ia belum mengingkari kewajipan pembayaran balik hutangnya.

“Kami juga menjual aset dan memindahkan pemilikan aset kepada MoF (Kementerian Kewangan) supaya ia dapat dikembangkan secara bebas daripada 1MDB.

“Sebagai contoh, TRX (Tun Razak Exchange) berjaya menarik HSBC sebagai penyewa utama dan menandatangani perjanjian bagi Prudential Insurance, manakala 1MDB menjalin usaha sama dengan Land Lease untuk bersama membangunkan 17 ekar (6.88 hektar) tanah,” kata Arul Kanda.

Beliau berkata, komuniti perniagaan dan pelaburan antarabangsa sudah melihat melepasi isu lama dan berpuas hati terhadap ketelusan serta keterbukaan syarikat dan kini komited melabur dalam projek yang berasal dari 1MDB.

“Syarikat ini tidak mempunyai masalah kewangan dan memenuhi semua tanggungjawab hutang kami secara penuh dan tepat pada waktunya, dan kami menjangkakan dapat melakukannya sehingga sampai tempoh matang hutang akhir yang harus dibayar,” katanya.

Arul Kanda menegaskan 1MDB mempunyai aset hampir AS$11 bilion dan hutang sebanyak AS$7.75 bilion, manakala aliran tunai daripada pelupusan serta pemindahan aset akan digunakan untuk melangsaikan hutangnya, ketika ini syarikat itu yakin terhadap keupayaannya untuk memenuhi semua kewajipan itu.

Mengenai tindakan pembangkang menggesa siasatan berterusan ke atas 1MDB, Arul Kanda berkata, Bank Negara Malaysia menyelesaikan siasatannya dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, yang terdiri daripada 14 ahli, termasuk 5 anggota pembangkang, mengemukakan laporannya pada April 2016, berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara.

“Tiada dakwaan jenayah atau sivil dibuat. 1MDB menyatakan ia bukan pihak kepada sebarang siasatan undang-undang yang sedang dijalankan dan bukan subjek kepada sebarang siasatan,” katanya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.