BREAKING NEWS

Monday, 2 April 2018

Pemandu Hyundai terlelap rempuh lori bawa telur ayam



SEBERANG PERAI - Dua buah kenderaan, masing-masing sebuah kereta dan sebuah lori terlibat dalam kemalangan di kilometer 115.3 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara dekat Kepala Batas, di sini pagi tadi menyebabkan beribu-ribu telur ayam bertaburan di atas jalan.

Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian yang berkira-kira pukul 9.40 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta jenis Hyundai Veloster telah melanggar bahagian belakang lori terbabit yang turut berada dalam laluan yang sama.

"Kereta dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun tersebut dari arah Butterworth menghala ke Sungai Petani, Kedah dan berada di lorong kiri.

"Apabila sampai di lokasi kejadian, dia dikatakan telah terlelap dan terlanggar belakang sebuah lori yang berada di hadapannya," katanya.

Menurut Noorzainy, akibat rempuhan itu, pemandu lori berusia 55 tahun berkenaan mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Sungai Petani, Kedah bagi mendapatkan rawatan, manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kemalangan itu juga telah menyebabkan laluan trafik di lokasi kejadian sesak sehingga beberapa kilometer.
 
Copyright © 2014 PenangKini.