BREAKING NEWS

Wednesday, 18 April 2018

Pendidikan percuma hanya pancing undi


BESUT - Tawaran Pakatan Harapan (Harapan) untuk menyediakan pendidikan tinggi secara percuma dilihat bakal membebankan rakyat pada masa depan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pembangkang sebelum ini berjanji kononnya pendidikan akan diberi percuma dalam pelbagai aspek termasuk memberi pendidikan tinggi percuma dengan menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagaimana dilaksanakan di beberapa negara maju lain.

Beliau bagaimanapun mengingatkan bahawa tindakan pembangkang itu hanya akan menyebabkan rakyat perlu membuat bayaran lain termasuk mengenakan cukai kepada mereka dengan kadar yang tinggi.

“Ambil contoh Denmark, walaupun banyak bagi percuma kepada rakyat tetapi pada masa sama rakyat perlu bayar cukai pendapatan yang tinggi sebanyak 55.80 peratus dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak 25 peratus.

“Manakala Sweden (61.85 peratus, GST 25 peratus), Norway (38.52 peratus, GST 25 peratus) dan Finland (51.60 peratus, GST 24 peratus),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Pejabat Pendidikan Besut di Demong, di sini.

Seramai 285 warga pendidik dan kakitangan Pejabat Pendidikan Daerah Besut menerima anugerah berkenaan.

Idris berkata, kenyataan pihak yang mahu menghapuskan pinjaman PTPTN dilihat semata-mata mahu memancing undi sedangkan hakikatnya tidak ada yang percuma kerana wang tersebut daripada cukai dan GST.

“Sebenarnya pendidikan tinggi di negara ini hampir percuma kerana kerajaan telah membiayai kira-kira 90 peratus daripada kos sebenar pembelajaran mereka yang memasuki IPTA dan selebihnya baru ditanggung sendiri termasuk menerusi PTPTN,” katanya. - Sinar Harian
 
Copyright © 2014 PenangKini.