BREAKING NEWS

Sunday, 1 April 2018

'Perpaduan kukuhkan Parlimen Kepala Batas' - Reezal Merican




KEPALA BATAS: Barisan Nasional (BN) akan mempertahankan Kepala Batas sebagai kubu kuatnya hingga diperakui lawan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Timbalan Menteri Luar yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata pihaknya akan memastikan kebimbangan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, untuk menembusi penguasaan UMNO dan BN di kawasan itu terus menjadi mimpi ngerinya.

Reezal Merican berkata, penyatuan utuh di kawasannya menjadikan bakal memberi kelebihan untuk Kepala Batas kekal dalam tangan BN pada PRU-14.

"Kebimbangan Ketua Menteri Pulau Pinang baru-baru ini mengenai kesukaran lawan menawan Parlimen Kepala Batas memang berasas.

"Beliau melihat sendiri suasana di kawasan ini dan kita akan terus bekerja serta bersatu bagi memastikan mimpi buruk Setiausaha Agung DAP itu menjadi realiti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program pertemuan bersama lebih 160 pesara kerajaan di Wisma UMNO Kepala Batas di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Guan Eng mengakui Kepala Batas masih sukar ditawan manakala pengaruh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, kuat mencengkam di kawasan itu.

Reezal Merican berkata, Kepala Batas turut menjadi antara Parlimen contoh dan pusat rujukan kawasan lain.

"Sejak dulu, kawasan ini menjadi rujukan dari segi kedudukan, politik dan pembangunan yang mana kita perlu pelihara hasil kerja pemimpin terdahulu supaya terus diteladani generasi akan datang," katanya.

Berita Harian
 
Copyright © 2014 PenangKini.