BREAKING NEWS

Saturday, 28 April 2018

Pesawat Dr. Mahathir tidak disabotaj

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan tiada sebarang unsur sabotaj melibatkan pesawat yang dinaiki calon Perdana Menteri sementara gabungan pembangkang PKR, Tun Dr. Mahathir Mohamad, semalam.

Pengerusinya, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata, berdasarkan siasatan pihaknya mendapati pesawat tersebut gagal terbang disebabkan mengalami masalah teknikal kecil dan kesalahan rutin iaitu kebocoran udara dari bahagian kiri tayar depan pesawat tersebut.


"Berdasarkan siasatan yang dibuat oleh CAAM hari ini termasuk dengan membuat pengesahan terhadap rekod dokumentasi pesawat, pemeriksaan fizikal pesawat dan menemu bual juruterbang serta pekerja penyenggaraan pesawat khas milik Dr. Mahathir itu mendapati tiada sebarang laporan kerosakan dibuat.

"Kecuali terdapat kebocoran udara dari bahagian tayar hadapan kiri yang dibuat semalam. Pihak CAAM juga telah dimaklumkan oleh pekerja penyenggaraan bahawa tekanan angin terhadap bahagian tayar tersebut rendah. Mereka kemudian menservis dan memantau tekanan tayar tersebut, mereka mendapati tekanannya jatuh sehingga dua psi setiap minit," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan buku log perjalanan dan teknikal Vistajet pada muka surat 55778 yang dicatat semalam mengesahkan berlakunya kebocoran udara pada bahagian tersebut namun, tayar tersebut tidak dapat diganti kerana tidak mempunyai tayar gantian lain.

Sehubungan itu, katanya CAAM turut membuat pemeriksaan terhadap bahagian tayar tersebut dan mendapati ia sama dengan laporan yang dibuat sebelum ini.

"Dakwaan sabotaj terhadap pesawat sangat serius dan boleh memberikan impak terhadap reputasi Malaysia dalam bidang penerbangan secara keseluruhan.

"Secara moral juga ia merupakan kesalahan kerana membuat satu dakwaan liar dan tuduhan palsu demi kepentingan politik," katanya. - UTUSAN ONLINE

 
Copyright © 2014 PenangKini.