BREAKING NEWS

Wednesday, 4 April 2018

Politik Kebudak-Budakkan, Jadi Amalan PH, Kata PAS

KUALA LUMPUR: Budaya politik tidak matang atau kebudak-budakkan terserlah menjadi amalan dalam Pakatan Harapan (PH) yang diketuai DAP.
Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata, hal itu terbukti apabila PH mendakwa penerimaan Pas terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Anti Berita Tidak Benar 2018 sebagai menyokong BN.
Beliau berkata, kayu ukur yang digunakan sangat dangkal, kerana Pas menyokong akta baharu digubal itu disebabkan ia selaras dengan Islam.
“Ini politik kebudak-budakkan, politik manipulasi fakta bertujuan mencipta persepsi jahat dan kebencian, sangat malang apabila Malaysia memiliki ahli politik yang berfikiran sebegini.
“PAS menyokong RUU ini kerana Islam haramkan penyebaran berita palsu yang hari ini menjadi makanan ahli politik terutamanya daripada PH,” katanya dalam status yang dimuat naik di akuan Facebook beliau, hari ini.
Mohd Khairuddin selanjutnya mempersoalkan berkenaan Akta AIIB (Bank Pelaburan Infrastruktur Asia) dan Akta 164 yang disokong PH sedangkan Pas pula menentang kerana menyentuh kedaulatan Mahkamah Syariah dan hukum Islam.
Menurutnya, apa sahaja bercanggah dengan Islam pastinya ditolak oleh Pas dan sebaliknya akan menyokong sesuatu akta berasaskan prinsip Islam.
“Sebab itu Akta AIIB Pas tolak kerana memperakui sistem riba sebagai asas bank itu, namun tindakan PH menyokong kedua-dua akta tersebut, adakah menandakan mereka boleh bersekongkol apabila selaras dengan nafsu serta keinginan mereka?,” soal beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.
- Utusan Online
 
Copyright © 2014 PenangKini.