BREAKING NEWS

Tuesday, 10 April 2018

#PRU14 Mengundi hari Rabu adil untuk semua - Eric See-To

Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Eric See-To berkata mengadakan hari pembuangan undi pada Rabu adalah adil untuk semua kerana hari hujung minggu di beberapa negeri jatuh pada hari berbeza.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan hari penamaan calon pada 28 April dan tarikh mengundi pada Rabu, 9 Mei ini.

“Hari hujung minggu di Terengganu, Kedah dan Kelantan jatuh pada Jumaat dan Sabtu…oleh itu tidak adil bagi negeri-negeri itu jika Ahad dipilih sebagai hari mengundi,” katanya di Facebook.

Katanya, jika PRU ditetapkan pada Jumaat, ia akan menjadi tidak adil kepada pengundi di negeri di mana Jumaat adalah hari bekerja.



“Begitu juga, jika PRU ditetapkan pada Sabtu, ia akan menjadi setengah hari bagi sesetengah orang, dan hari rehat untuk orang lain,” katanya.

See-To menegaskan beliau tidak bercakap bagi pihak SPR, tetapi beliau dapat melihat merit dalam pemilihan Rabu sebagai hari mengundi kerana ia adil kepada semua negeri dan membolehkan kadar keluar mengundi yang konsisten di serata negara.

Beliau berkata Pakatan Harapan (PH) tidak patut mengadu tentang pemilihan hari minggu memandangkan sejarah calon perdana menteri mereka.

PRU pertama Tun Dr Mahathir Mohamad ketika beliau menjadi perdana menteri ialah pada Khamis, 22 April 1982, dan 2 PRU terakhirnya juga diadakan pada hari minggu iaitu Isnin, 25 April 1995 dan Isnin, 29 November 1999.

See-To kemudian membandingkannya kepada tarikh pemilihan presiden Amerika Syarikat (AS) 2016.

“AS, yang kononnya negara paling demokratik di dunia, juga mengadakan pilihan raya pada Selasa, 8 November 2016.”


 
Copyright © 2014 PenangKini.