BREAKING NEWS

Wednesday, 11 April 2018

#PRU14 Oxford Economics ramal BN menang selesa

KUALA LUMPUR: Gabungan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang diketuai Datuk Seri Najib Razak dijangka memperoleh kemenangan selesa pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bulan depan, menurut Oxford Economics.

Firma penyelidikan itu berkata, Najib sudah mengumumkan janji pilihan raya menerusi Manifesto BN baru-baru ini termasuk kenaikan gaji kakitangan awam dan upah minimum lebih tinggi.

Ini dijangka dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak kira-kira 0.25 mata peratusan tahun ini.

"Jangkaan kami, parti pemerintah akan memperoleh kemenangan selesa pada PRU-14 yang diadakan pada 9 Mei ini.

"Peningkatan majoriti BN juga membantu mengukuhkan kedudukan perdana menteri sebagai pemimpin gabungan BN," kata pakar ekonominya, Sian Fenner dalam satu laporan, di sini, hari ini.

Fenner berkata, BN mengeluarkan satu manifesto yang memfokuskan usaha menangani kenaikan kos sara hidup yang menjadi kebimbangan rakyat.

"Antara lain, pemotongan cukai pendapatan dan bayaran tunai lebih tinggi untuk isi rumah berpendapatan rendah, gaji agregat bagi kakitangan awam juga ditingkatkan kira-kira 10 peratus dengan membabitkan tambahan berjumlah RM1.46 bilion, berkuat kuasa 1 Julai ini.

"Najib juga menjanjikan kenaikan gaji minimum dari RM950 dan RM1,000 pada masa ini, kepada RM1,500 dalam tempoh lima tahun," katanya.

Firma penyelidikan itu turut mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.2 peratus berikutan peningkatan dalam pergerakan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, selain ketidaktentuan mengenai prospek perdagangan serantau.

Ferner berkata, janji lain yang diumumkan BN seperti pelupusan hutang kepada peneroka kelapa sawit dan membangunkan infrastruktur lebih baik turut membantu kepada pertumbuhan KDNK tahun ini.

"Kami menjangkakan kenaikan unjuran bagi perbelanjaan isi rumah, yang disokong oleh perbelanjaan peribadi.

"Menerusi Model Ekonomi Global Oxford Economics, kami menjangkakan kenaikan 10 peratus dalam gaji minimum tahun ini (selaras dengan peningkatan 50 peratus yang dijanjikan dalam tempoh lima tahun akan datang).

"Peningkatan pendapatan dalam kalangan kakitangan awam juga dapat meningkatkan pertumbuhan KDNK sekitar 0.25 peratus tahun ini, berdasarkan unjuran dasar kami sebanyak 5.2 peratus," katanya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.