BREAKING NEWS

Friday, 13 April 2018

#PRU14 UMNO Pulau Pinang kekalkan calon sedia ada, berpengalaman - Datuk Seri Zainal Abidin

NIBONG TEBAL: Majoriti calon Umno Pulau Pinang yang akan bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) adalah kekal dalam kalangan ahli parlimen dan Adun sedia ada.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata pengekalan ahli parlimen dan Adun sedia ada itu adalah berdasarkan rekod pengalaman serta khidmat yang diberikan wakil rakyat berkenaan kepada masyarakat.

“Boleh saya katakan kebanyakan ahli parlimen dan Adun sedia ada ini dikekalkan. Majoriti ahli parlimen dan Adun ini kita kekalkan kerana kita hendak berpegang kepada khidmat mereka, pengalaman mereka untuk memberi kekuatan kepada Umno dan BN,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Selain itu, beliau berkata faktor pengalaman juga menjadi nadi penting calon Umno negeri ini bagi memastikan parti tersebut dan Barisan Nasional (BN) terus mencapai kemenangan.

“Kami akan lebih berpegang kepada pengalaman, kami mahu pastikan calon-calon daripada Umno Pulau Pinang adalah mereka-mereka yang berpengalaman. Dalam keadaan senario politik sekarang, kami sedar mereka-mereka yang telah dikenali, berpengalaman amat penting,” katanya.



Zainal Abidin bagaimanapun berkata kebanyakan calon parti-parti komponen iaitu MCA, MIC dan Gerakan adalah muka baharu kerana mereka mewakili kawasan yang kalah.

“Jadi kalau kawasan kalah ini kita letak muka lama juga sudah tentu tidak ada pembaharuan, jadi untuk kawasan-kawasan yang kami dah kalah sebelum ini kami letak muka baharu… di kawasan yang kami menang kami tengok wakil rakyatnya bagus berkhidmat, bagus prestasinya dan memberi khidmat yang baik kepada masyarakat kami kekalkan. Lebih kurang begitulah formula kami, saya tak boleh cerita lebih tunggu pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dahulu,” katanya.

Sementara itu berhubung pengumumannya semalam untuk tidak bertanding pada PRU14, Zainal Abidin berkata keputusan tersebut bukan dibuat dalam tempoh yang singkat dan tergesa-gesa, tetapi mengambil masa 2 tahun.

“Saya harap hasrat saya (tidak bertanding) tidak mengejutkan kerana saya terima banyak pertanyaan. Hasrat ini saya bincang 2 tahun dulu dengan perdana menteri dan bukan perkara mudah untuk kita mengundur diri, untuk tidak bertanding ini bukan boleh dibuat dalam masa 24 jam atau dalam masa 1, 2 bulan tetapi perancangan teliti untuk perkara-perkara strategik saya maklumkan kepada perdana menteri hampir 2 tahun dahulu cuma saya tak boleh umum awal. Jika umum awal lagi banyak masalah akan timbul,” katanya.

Zainal Abidin menegaskan apa yang penting dalam politik ialah memastikan parti memperoleh kemenangan dan bukannya untuk mengejar cita-cita atau keinginan sendiri.

“Yang penting ialah parti…kami hanyalah individu-individu yang akan menegakkan kebenaran, memenangkan parti kami dan yang paling indah ialah apabila parti mencapai kemenangan… itu akan mengatasi segala-galanya dalam hidup,” katanya.

Zainal Abidin berkata beliau sudah menyediakan satu pasukan terbaik dianggotai 5 calon ahli parlimen berwibawa serta 15 calon Adun yang berpengalaman.

“Saya yakin pasukan saya di Pulau Pinang adalah pasukan yang baik dan diterima oleh rakyat kerana semua 20 calon ini punya rekod (yang baik), tiada seorangpun yang kita ketengahkan ini tidak mempunyai pengalaman atau tidak mempunyai rekod khidmat dengan masyarakat.

“Mereka berkhidmat dengan masyarakat dengan tempoh yang sesuai dan agak lama. Kami juga ketengahkan muka-muka baharu dan orang muda yang bukan tiba-tiba datang dari mana-mana sebaliknya mereka ini menjalankan khidmat sebagai ahli Pemuda, Wanita dan sebagainya,” katanya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.