BREAKING NEWS

Thursday, 19 April 2018

Rafidah terbukti salah fakta terhadap kapal Equaminity


KUALA LUMPUR 19 April - Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz kini diibaratkan seperti ‘muka berconteng arang’ apabila sikap lancangnya terhadap spekulasi kapal Equaminity mempunyai kaitan dengan syarikat 1Malaysian Development Berhad (1MDB) telah dibuktikan salah oleh Mahkamah Pengadilan Negeri Jakarta Selatan.

Ironinya, Rafidah kini sudah pasti tercari-cari di mana tempat sesuai untuk ‘letak mukanya’ selepas semua dakwaaan yang dikatakan berfakta disanggah oleh undang-undang dan terbukti beliau hanya cakap kosong semata-mata.


Bekas pengasas PPBM yang dibubarkan sementara, Anina Saadudin berkata, sebagai bekas menteri Kabinet yang telah berkhidmat lama dalam kerajaan, Rafidah seharusnya mengeluarkan kenyataan berfakta dan bukannya menyebarkan spekulasi seperti mana yang dilakukan oleh gabungan pembangkang PKR.

“Rafidah memberikan contoh yang tidak baik kepada rakyat apabila bercakap tanpa fakta dan inilah sebabnya kita memerlukan Akta Antiberita Tidak Benar 2018. Sepatutnya semak terlebih dahulu setiap maklumat sama ada ia sahih atau tidak baru keluarkan kenyataan.

“Kalau beliau tidak tahu kesahihan sesuatu maklumat, tanya pihak yang berkaitan dengan isu tersebut. Kita perlu berpegang kepada isu pokok. Adakah Rafidah mahu menjadi seperti Naib Presiden PKR, Mohd. Rafizi Ramli yang gemar bermain dengan spekulasi?,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, Mahkamah di Indonesia sudah mengesahkan bahawa Equanimity (Cayman) Ltd. sebagai pemilik kapal mewah Equanimity dan tiada kaitan sama sekali dengan 1MDB.

Sementara itu, Anina berkata, Rafidah perlu bertanggungjawab terhadap perbuatannya mewujudkan spekulasi liar dan memburukkan imej Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan melakukan permohonan maaf secara terbuka secepat mungkin.

Katanya, sebagai seorang Muslim, Rafidah perlu mengakui kesilapannya menyebarkan berita palsu bagi memberi contoh yang baik kepada orang ramai.

“Lebih baik memohon maaf sekiranya dah terbukti kita bersalah. Umur kita sudah semakin ‘senja’. Buanglah ego jauh-jauh’,” katanya. - UTUSAN ONLINE



 
Copyright © 2014 PenangKini.