BREAKING NEWS

Wednesday, 4 April 2018

Rakyat Malaysia Sedia ‘Hidup’ Tanpa Facebook? Indonesia Ancam Tutup Facebook Jika Ada Berita Palsu

Ancaman berita palsu tidak hanya di Malaysia – apabila Rang Undang-Undang (RUU) Anti Berita Palsu 2018 telah diluluskan di Dewan Rakyat semalam, sebaliknya ia turut mencetuskan kebimbangan kepada negara jiran, Indonesia.
Indonesia dilaporkan bakal mengambil tindakan yang lebih drastik apabila mengancam untuk menutup Facebook di negara itu sekiranya syarikat gergasi teknologi berkenaan gagal menangani berita palsu dan ada penyalahgunaan data peribadi rakyat dalam pilihan raya akan datang.
Menurut Bloomberg, ancaman tersebut berlaku di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat di Indonesia bahawa maklumat peribadi setiap pengundi mungkin digunakan pada pilihan raya presiden nanti susulan pendedahan skandal melibatkan data 50 juta penggunanya, diperolehi syarikat analisis data Cambridge Analytica – dalam kempen pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Indonesia tidak gentar untuk meneruskan ancaman mereka itu kerana Menteri Komunikasi dan Informatika (Menkominfo) Rudiantara memberitahu agensi berita tersebut, “Jika saya harus menutupnya, saya akan lakukannya juga”, sepertimana tindakan sama yang dilakukan terhadap Telegram, sebelum ini.
“Saya sudah melakukannya. Saya tidak teragak-agak untuk melakukannya sekali lagi.”
Bahkan, amaran itu turut diperluaskan kepada platform media sosial lain termasuk Twitter dan Google.
Rudiantara juga mengatakan bahawa pihaknya telah mendapatkan jaminan daripada beberapa wakil Facebook di Indonesia menjelaskan bahawa tiada data pengguna rakyat negara itu digunakan Cambridge Analytica, selain Facebook berkata mereka akan membalas pertanyaannya minggu ini.
Tambah beliau, denda yang berat juga menanti Facebook jika mereka gagal mematuhi peraturan Indonesia.
“Terdapat beberapa sekatan pentadbiran. Saya boleh mengeluarkan surat amaran kepadanya. Sekatan jenayah juga boleh diberikan,” katanya.
Kakitangan syarikat gergasi media sosial berkenaan juga berdepan penjara sehingga 12 tahun dan didenda sehingga 12 billion Rupiah (RM3,370,800).
“Saya mahu membuat pengakuan bahawa tidak ada data atau maklumat pengguna Facebook Indonesia digunakan oleh Cambridge Analytica.
“Jika itu berlaku, saya boleh (mengeluarkan arahan) mengejar mereka, minta (bantuan) polis,” kata Rudiantara.
Ketika Presiden Indonesia Joko Widodo bersedia untuk pemilihan semula dalam kempen yang sudah bermula pada bulan September sebelum sesi pengundian pertama pada April tahun depan, Rudiantara turut menyuarakan keprihatinan tentang bagaimana maklumat peribadi setiap pengundi mungkin digunakan oleh pihak domestik dan luar negara untuk mempengaruhi pilihan raya Indonesia.
“Saya perlu berhati-hati, sama ada ia dalaman dari dalam negara atau di luar negara.
“Tetapi perkara yang paling penting adalah kita perlu melihat kawalan terhadap platform,” katanya.
Beliau dalam pada itu meninggalkan mesej ringkas kepada Facebook dan syarikat media sosial lain dengan berkata, “Sekiranya anda tidak dapat menguruskan platform anda untuk menyokong kestabilan Indonesia, bermakna niat anda untuk berada di Indonesia bukanlah untuk perniagaan, (sebaliknya) ia adalah sesuatu yang lain.”
Bisnis Indonesia melaporkan bahawa Facebook Indonesia telah melancarkan program Third Party Checking, yang mana negara pertama di Asia Pasifik memperkenalkan ciri tersebut, bertujuan memberi kuasa kepada rakyat Indonesia dalam membuat keputusan yang lebih informasi mengenai apa yang mereka baca dan kongsikan kepada orang lain di laman web.
- mD
 
Copyright © 2014 PenangKini.