BREAKING NEWS

Friday, 13 April 2018

Saya ke Pulau Pinang bukan untuk lihat banglo, terowong - Najib Razak

GEORGE TOWN: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Dautk Seri Najib Razak melawat Balik Pulau hari ini dan menjanjikan lebih banyak pembangunan, jika mereka mengundi parti itu.

Beliau memberitahu 5,000 hadirin di Sekolah Menengah Seri Balik Pulau yang BN akan membawa perubahan kepada Pulau Pinang, jika pengundi melakukan perkara betul.

BN merampas kembali kerusi Parlimen Balik Pulau pada 2013 dengan calonnya, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya menewaskan calon PKR, Muhammad Bakhtiar Wan Chik dengan kelebihan 1,539 undi.

Dr Hilmi yang juga timbalan menteri kesihatan turut mewakili Balik Pulau pada 2004, mengalahkan Rohana Ariffin dari PKR. Beliau tidak bertanding pada 2008 dan wakil PKR, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff menang dengan majoriti 708 undi.

Najib berkata: “Buat pilihan betul kali ini kerana Pulau Pinang menderita daripada banjir, pembangunan melampau di lereng bukit dan bil air yang mahal.”



Katanya, kerajaan negeri pimpinan DAP itu memberi “banyak janji manis” pada pilihan raya umum ke-13 “tetapi kebanyakannya tidak ditunaikan”.

Pengerusi BN itu kemudiannya menggunakan 2 isu membabitkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan kerajaan negeri dengan berkata “Saya di Pulau Pinang bukan untuk tengok banglo atau terowong tak siap, tapi untuk tengok gelombang kebangkitan biru di sini. BN mempunyai rekod prestasi cemerlang dalam mentadbir dan membangunkan negara.

“Jadi, keputusan akhir ialah masa depan yang stabil dan terjamin,” katanya selepas melancarkan 12 projek Kementerian Kesihatan di Pulau Pinang yang bernilai RM1.64 bilion, hari ini.

Najib kemudian menyasarkan kempen “Selamatkan Malaysia” oleh Pakatan Harapan yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad dengan berkata, bekas perdana menteri itu patut dipersalahkan atas sesetengah isu dihadapi rakyat.

Dengan membandingkan pentadbirannya dengan Dr Mahathir, Najib berkata, hutang kerajaan berkurangan dengan ketara pada 50.8% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) berbanding pentadbiran Dr Mahathir yang menanggung hutang berjumlah 103% daripada KDNK.

Katanya, rizab asing kini berjumlah AS$104 bilion berbanding AS$20 bilion pada zaman pemerintahan Dr Mahathir.

“Jadi, persoalan di sini ialah anda cuba menyelamatkan Malaysia daripada apa? Nampaknya ada orang mahu menyelamatkan kroninya.”

Sementara itu, Najib berjanji memansuhkan bayaran tol untuk penunggang motosikal di Jambatan Pulau Pinang, jika BN berjaya merampas semula negeri itu daripada DAP.

Katanya, BN berjaya menunaikan 99.4% daripada janji dalam manifestonya 5 tahun lalu berbanding kerajaan DAP Pulau Pinang yang gagal menunaikan 51 janji sepanjang 10 tahun ia memerintah negeri itu.

Terdahulu, beliau berkata, BN melancarkan 12 projek yang merangkumi pembinaan blok klinik pakar dan wad bersalin Hospital Pulau Pinang (HPP), kuarters HPP, menaik taraf perkhidmatan transplan HPP termasuk pemindahan sum-sum tulang jenis allogeneik dan pembinaan Kolej Jururawat Kepala Batas di Bertam.

Projek lain termasuk menaik taraf sistem pendingin hawa berpusat di dewan bedah dan sistem elektrik Hospital Bukit Mertajam, pembinaan Klinik Kesihatan Bandar Perda dan Klinik Kesihatan Air Putih di daerah Barat Daya, pembinaan blok bertingkat Hospital Seberang Jaya, menaik taraf Hospital Seberang Jaya serta Jabatan Kecemasan dan Pesakit Luar Hospital Balik Pulau.

 
Copyright © 2014 PenangKini.