BREAKING NEWS

Tuesday, 10 April 2018

#SkandalBangloLGE Perbicaraan Guan Eng disambung selepas PRU

GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng akan dapat menumpukan sepenuh perhatiannya kepada pilihan raya umum (PRU) akan datang selepas Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan menangguh perbicaraan rasuahnya selama sebulan.

Peguam Gobind Singh Deo, membuat permohonan itu di hadapan Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail hari ini, mengatakan Lim akan terlibat dalam proses pilihan raya umum.

Timbalan pendakwa raya, Masri Mohd Daud membantah permohonan itu, mengatakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum memutuskan tarikh pencalonan dan membuang undi dan perbicaraan itu masih boleh diadakan buat masa ini.


Hadhariah bagaimanapun berkata, Lim sebagai ketua menteri Pulau Pinang, akan terlibat dalam proses pilihan raya dan ia mustahil untuknya menghadiri mahkamah.

“Ia kes jenayah jadi tertuduh harus menghadiri perbicaraan,” kata Hadhariah.

Pagi tadi, Lim yang tidak hadir di mahkamah tiba di kediaman rasmi Yang di-Pertua Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas bagi mendapatkan persetujuan membubarkan Dewan Undangan Negeri untuk memberi laluan kepada pilihan raya.

Hadhariah menerima permohonan peguam Lim dan menetapkan 10 Mei bagi pengurusan kes. Perbicaraan akan bersambung pada 21 Mei.

Sebelum ini, perbicaraan ditangguh bagi membenarkan Gobind dan Lim menghadiri sesi Parlimen. Perbicaraan itu sepatutnya berlangsung hari ini sehingga 12 April.

Pada 30 Jun 2016, Lim mengaku tidak bersalah terhadap 2 pertuduhan rasuah membabitkan penukaran status tanah pertanian kepada zon perumahan dan pembelian lot tanah serta sebuah banglo di Jalan Pinhorn pada Julai 2015 daripada Phang Li Koon pada harga RM2.8 juta, jauh lebih rendah daripada nilai pasaran RM4.27 juta.

Lim didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu ketua menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya dan isteri Betty Chew Gek Cheng, meluluskan Permohonan Perlingkungan Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah Barat Daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Phang dituduh bersubahat.

Kedua-dua Lim dan Phang mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu. Seramai 25 saksi memberi keterangan dalam pendakwaan yang dijangka memanggil 55 saksi secara keseluruhan.

Lim diwakili Gobind, RSN Rayer dan Hisyam Teh, sementara itu Phang diwakili V Sithambaran dan Rueban Kumar.
 
Copyright © 2014 PenangKini.