BREAKING NEWS

Sunday, 8 April 2018

Tak sempurna, tetapi BN penuhi ‘99.4%’ janji - Najib Razak

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, rakyat perlu bersikap “adil dan teliti” ketika menilai Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kerana parti itu hampir berjaya mengotakan semua janji yang diberikan pada PRU lalu.

Pengerusi BN berkata, kerajaan tidak bebas daripada kekurangan, tetapi mereka berjaya membawa penambahbaikan dan perubahan berdasarkan kehendak rakyat.

“Berlatar belakangkan krisis ekonomi global, penurunan harga minyak dan nilai ringgit, kami sudah memenuhi hampir 99.4% janji PRU lalu, dengan bakinya dalam proses penyelesaian.


“Kami yakin sudah memberikan yang terbaik untuk menyediakan perkhidmatan dalam bidang utama seperti pendidikan, kesihatan dan keselamatan,” katanya di depan ribuan penyokong di Stadium Axiata, Bukit Jalil, malam ini.

Beliau berkata, manifesto PRU14 perlu dilihat bersama Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), inisiatif Transformasi Negara 2050 (TN50) dan bajet tahunan yang dikemukakan Putrajaya.

Katanya, kerajaan turut mendengar suara rakyat dengan mengadakan “ribuan perbincangan” bersama kumpulan yang mewakili pelbagai ideologi, latar belakang pendidikan, etnik serta agama, dalam merangka TN50, rancangan selama 30 tahun untuk merangka hala tuju negara.

Najib berkata, tiada rakyat yang diabaikan atau dinafikan sokongan kerajaan.

“Seramai 7 juta rakyat mendapat sokongan menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), walaupun sebahagian daripada mereka tidak miskin,” katanya merujuk skim bantuan tunai itu.

PRU14 adalah PRU ke-2 buat Najib sebagai perdana menteri, sejak beliau mengambil alih jawatan itu daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2009 yang gagal mempertahankan majoriti 2/3 pada PRU 2008.
 
Copyright © 2014 PenangKini.