BREAKING NEWS

Tuesday, 10 April 2018

Tiada kerugian RM14 bilion, salah laku dalam 1MDB


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan tiada bukti yang menunjukkan 1MDB menanggung kerugian berjumlah AS$3.657 bilion (RM14.4 bilion) dan tiada bukti dakwaan berlakunya salah laku oleh anggota lembaga pengarah syarikat berkenaan.

Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad juga berkata peguam negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan sebelum ini turut menyatakan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak terlibat dalam skandal membabitkan isu 1MDB.

Beliau membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Najib dan 13 ahli Lembaga Pengarah 1MDB serta 2 lagi untuk membatalkan saman bekas Senator Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor terhadap 16 defendan itu berhubung kerugian dialami 1MDB berjumlah AS$3.657 bilion.

Nik Hasmat juga mendapati Mohamad Ezam selaku plaintif tidak mempunyai locus standi atau hak di sisi undang-undang untuk memfailkan saman itu.

Dalam penghakimannya, beliau berkata mahkamah mendapati Mohamad Ezam mengakui di dalam afidavit balasannya, beliau bukan ahli lembaga pengarah, pemegang saham dan tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam 1MDB.

“Tindakan saman difailkan plaintif berasaskan ‘bare averment’. Saya juga terfikir-fikir adakah tindakan saman itu dicetuskan berdasarkan komitmen plaintif kononnya beliau mewakili pembayar cukai di negara ini atau hanya dibayangi niat tersembunyi bagi perkembangan politiknya,” kata hakim itu.

Katanya mahkamah juga mendapati tiada kausa tindakan munasabah dalam tuntutan saman plaintif dan saman berkenaan juga adalah remeh dan menyusahkan serta menyalah guna proses mahkamah.

“Oleh itu, mahkamah membatalkan saman difailkan plaintif terhadap kesemua defendan dan memerintahkan plaintif membayar kos berjumlah RM63,000 kepada kesemua defendan,” katanya.

Najib memfailkan permohonan membatalkan saman pada 12 Julai 2017, atas alasan Mohamad Ezam, selaku presiden Parti Bebas Rasuah tidak mempunyai locus standi untuk mengemukakan tuntutan tersebut.

Selain Najib selaku defendan pertama, turut memfailkan permohonan bagi membatalkan saman ialah 13 ahli Lembaga Pengarah 1MDB iaitu Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, Datuk Kamal Mohd Ali, Datuk Norazman Ayob, Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, Tan Sri Ismee Ismail, Tan Sri Ong Gim Huat dan Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi selaku defendan ke-2 hingga ke-8.

Selain itu, Ashvin Jethanand Valiram, K Arul Kanda, Mohd Hazem Abd Rahman @Mohamed, Datuk Mohd Bakke Salleh, Tan Sri Azlan Mohd Zainol, Datuk Tengku Rahimah Puteri Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah sebagai defendan ke-9 hingga ke-14.

Syarikat 1MDB dan kerajaan Malaysia sebagai defendan ke-15 dan ke-16 turut memfailkan permohonan bagi membatalkan saman difailkan Mohamad Ezam pada 14 April 2017.

Dalam pernyataan tuntutan, Mohamad Ezam, selaku plaintif, mendakwa syarikat 1MDB meminjam sejumlah AS$6.5 bilion dengan bantuan Goldman Sachs International Ltd yang sewajarnya dimasukkan ke akaun syarikat berkenaan.

Namun, beliau mendakwa kesemua defendan bertindak melulu dengan menyebabkan sejumlah AS$3.657 bilion dibayar kepada pihak tidak berhak hingga menyebabkan kerugian kepada syarikat 1MDB.

Oleh itu, plaintif menuntut kesemua defendan menanggung kerugian syarikat 1MDB dengan bayaran sejumlah AS$3.657 bilion kepada syarikat berkenaan, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Peguam Farez Jinnah mewakili Mohamad Ezam, peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun mewakili perdana menteri dan Peguam Kanan Persekutuan Shamsol Bolhassan bertindak bagi pihak kerajaan manakala peguam Datuk Tan Hock Chuan mewakili 1MDB dan sebahagian daripada 13 anggota lembaga pengarahnya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.