BREAKING NEWS

Wednesday, 4 April 2018

Tun M Hina Rakyat Sabah, Sarawak

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah meluat dengan penghinan terbaharu Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung punca Sabah dan Sarawak ketinggalan berbanding negeri di Semenanjung ketika beliau menjadi Perdana Menteri.
Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Madius Tangau, berkata tuduhan bekas Perdana Menteri itu kononnya rakyat Sabah dan Sarawak bermentaliti rendah dengan memilih jalan mudah untuk berjaya adalah satu penghinaan.
Beliau berkata, rakyat kedua-dua negeri, lebih-lebih lagi di Sabah sudah serik dengan tindakan bekas Perdana Menteri itu meminggirkan Sabah daripada pembangunan hingga menyebabkan negeri ini ketinggalan dalam pelbagai aspek.
"Dia (Mahathir) kata antara puncanya (ketinggalan daripada pembangunan) ialah kerana rakyat Sabah dan Sarawak pemalas serta mempunyai mentaliti rendah dengan memilih jalan mudah untuk berjaya.
"Saya nak beritahu dia (Mahathir), anda salah. Rakyat Sabah dan Sarawak pandai berikhtiar. Rakyat Sabah bekerja keras seperti orang lain dan menjadi budaya kami untuk melakukan yang terbaik untuk diri dan keluarga," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir berkaitan punca Sabah dan Sarawak ketinggalan daripada arus pembangunan negara jika dibandingkan dengan negeri di Semenanjung dalam satu forum di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Madius yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata Dr Mahathir tidak boleh mempersoalkan tingkah laku, mentaliti dan integriti rakyat Sabah, terutama jika mengambil kira tindakannya merampas sumber negeri itu untuk membina projek di Semenanjung.
Katanya, bekas Perdana Menteri itu menggunakan dana yang banyak untuk melaksanakan projek mega seperti Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Putrajaya dan litar lumba F1 di Sepang, namun menafikan dana pembangunan untuk rakyat Sabah.
"Di sebalik sikap Dr Mahathir itu, Sabah dan Sarawak berterusan berikhtiar untuk pembangunan bagi membuktikan rakyat kedua-dua negeri bukan saja bekerja keras, malah tidak mempunyai mentaliti rendah.
"Tindakan Mahathir mengabaikan Sabah dan Sarawak sepanjang 22 tahun beliau berkuasa tidak boleh dinafikan sesiapa, terutama ketika dia menggunakan alasan menghina dalam usahanya melampiaskan dendam terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak," katanya.
Madius berkata, tiada sesiapa di Sabah atau Sarawak perlu meletakkan kepercayaan terhadap Dr Mahathir dan mereka yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri itu.
"Jika berbuat demikian, ia menunjukkan bahawa mereka bersetuju dengan pendirian Dr Mahathir yang memanggil kami (rakyat Sabah) sebagai pemalas dan bermentaliti rendah berbanding penduduk di Semenanjung," katanya.
- BH Online
 
Copyright © 2014 PenangKini.