BREAKING NEWS

Tuesday, 15 May 2018

Akta Berita Palsu Dulu Mansuh,Sekarang Kaji Semula


Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan mengkaji terlebih dahulu sama ada untuk memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018.

"Kita perlu kaji," katanya ringkas pada sidang akhbar.

Sebelum pilihan raya umum, Mahathir berikrar akan memansuhkan akta antiberita tidak benar yang diperkenalkan oleh kerajaan BN jika Pakatan Harapan berkuasa.

Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang diluluskan pada April lalu membawa hukuman penjara sehingga enam tahun dan denda sehingga RM500,000.

Pengkritik mendakwa hukuman yang dikenakan adalah keterlaluan sementara tidak ada definisi yang jelas tentang apa yang ditakrif sebagai berita palsu. Menurut mereka, undang-undang itu boleh digunakan oleh kerajaan untuk menindas pandangan yang berbeza.

Semasa kempen pilihan raya, Mahathir sendiri tertakluk kepada siasatan di bawah undang-undang berita palsu selepas mendakwa bahawa jet peribadi yang sepatut dinaikinya ke Langkawi telah disabotai.

Semalam, Mahathir berkata, kerajaan barunya akan menentukan dengan jelas apa yang ditakrif sebagai berita palsu dan apa yang bukan.

Beliau berkata walaupun kerajaan baru tidak akan menyekat kebebasan akhbar, beliau memberi amaran bahawa sebarang usaha untuk menghasut rakyat tidak akan diterima.

Mahathir tidak menyatakan sama ada beliau merancang untuk memansuh, meminda undang-undang sedia ada mengenai berita palsu ataupun menggubal rang undang-undang yang baru. MK
 
Copyright © 2014 PenangKini.