BREAKING NEWS

Sunday, 13 May 2018

BN akan jadi pembangkang berwibawa - Mohamad

SEREMBAN, 13 Mei (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) tidak akan melemparkan fitnah dan tohmahan terhadap kerajaan negeri baharu pimpinan Pakatan Harapan (PH) tetapi sebaliknya akan menjadi pembangkang yang berwibawa dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.

Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ini bagi memastikan rakyat terus mendapat kebaikan daripada dasar-dasar yang dilaksanakan oleh pentadbiran baharu kerajaan negeri.

Justeru, katanya, mereka akan menjadi pembangkang yang cekap untuk semak dan imbang demi kepentingan dan kebaikan rakyat di negeri itu.

"...itulah fungsi saya dan boleh jadi saya jadi Ketua Pembangkang dalam DUN Negeri Sembilan (tetapi) itu terpulang kepada rakan-rakan dalam BN," kata bekas menteri besar itu dalam sidang media khas, di sini hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lepas, PH membentuk kerajaan negeri selepas memperoleh majoriti mudah 20 kerusi daripada 36 kerusi DUN manakala BN memperoleh 16 kerusi
 
Copyright © 2014 PenangKini.