BREAKING NEWS

Wednesday, 2 May 2018

BN tidak tiru budaya lompat kawasan - Tsu Koon


GEORGETOWN: DAP perlu muhasabah partinya sebelum membangkitkan sentimen Barisan Nasional (BN) menampilkan 'calon luar' di sesetengah kawasan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Bekas Ketua Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata, sentimen itu sebaliknya didominasi calon pakatan pembangkang yang gemar 'lompat' ke kawasan yang kononnya boleh mendapat kemenangan mudah.


"Lim Kit Siang (Ketua Parlimen DAP) misalnya, dari Melaka, dia lompat ke Petaling Jaya, Selangor dan kembali ke Melaka, sebelum bertanding di Pulau Pinang, Perak dan kini di Johor pula.
"Justeru, siapa yang lebih gemar 'lompat' sebenarnya? Saya berpandangan mereka (calon pakatan pembangkang) inilah yang sebenarnya gemar melompat ke seluruh pelosok negara," katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, Tsu Koon turut membantu kempen calon BN di Parlimen Bukit Bendera yang turut dihadiri, Teng Chang Yeow (DUN Tanjung Bungah); Jason Loo (Pulau Tikus) dan Ooi Zhi Yi (Kebun Bungah).
Semalam, pakatan pembangkang mempersoalkan pencalonan Loo di DUN Pulau Tikus apabila pemangku Ketua Pemuda GERAKAN Pulau Pinang itu berasal dari Pantai Jerejak di Bayan Baru.
Tsu Koon yang juga bekas Presiden GERAKAN berkata, tiada halangan bagi seseorang untuk bertanding di mana-mana kawasan DUN, selagi individu terbabit berdaftar sebagai pengundi di negeri berkenaan.
"Sebenarnya ia tiada masalah (pencalonan Loo di DUN Pulau Tikus), sebaliknya pembangkang cuba mainkan sentimen ini. DAP seharusnya cermin prestasi calon daripada parti mereka yang suka lompat kawasan.
"Saya juga tak sangka dengan penerimaan orang ramai yang semakin menerima calon BN dan ia melangkaui jangkaan. Saya juga seronok dapat bertemu semula dengan rakan lama.
"Saya memohon supaya orang ramai dapat memberi sokongan kepada calon baharu ditampilkan Chang Yeow yang juga Pengerusi BN Pulau Pinang," katanya.- BH
 
Copyright © 2014 PenangKini.