BREAKING NEWS

Thursday, 24 May 2018

Bukan Saya Ahli Parlimen Dari Utara

Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menafikan beliau merupakan ‘Ahli Parlimen dari utara’ yang didedahkan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull, semalam.
Jelas Abdul Azeez yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, beliau tidak pernah mengadakan pertemuan dengan Mohd. Shukri, apatah lagi meminta supaya menghentikan siasatan terhadap kes SRC International Sdn. Bhd. (anak syarikat 1MDB) dan derma RM2.6 bilion daripada Putera Raja Arab Saudi.
“Bukan saya yang dimaksudkan beliau. Saya tidak berjumpa pun dengannya.
“Saya tidak mengganggu beliau melakukan siasatan. Siapa saya? Saya mana ada kuasa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Mohd. Shukri yang dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu selepas mengadakan perjumpaan dengan Perdana Men­teri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 14 Mei lalu mendedahkan ada Ahli Parlimen dari utara berjumpa de­ngannya bertujuan memintanya menghentikan siasatan.
Ia didakwa dilakukan oleh seorang Ahli Parlimen dari utara yang terkenal sebagai King of cash yang menjanjikan pelbagai ha­buan untuk beliau.
Dalam pada itu, Abdul Azeez turut mengesahkan mengenai serbuan yang dilakukan SPRM di dua kediamannya di Baling, Kedah dan Subang, Selangor serta pejabatnya di sini, semalam.
Katanya, serbuan yang dilakukan antara pukul 2 petang hingga malam itu turut merampas wang tunai berjumlah RM600,000, ma­ta wang asing dari pelbagai negara dengan tukaran bernilai kira-kira RM400,000.
“Ya, SPRM ada datang ke kediaman dan pejabat saya semalam secara profesional dan mengambil kesemua wang tunai tersebut. RM100,000 dirampas di kediaman saya di Baling manakala selebih­nya itu di Subang.
“Wang tunai ter­sebut saya baharu keluarkan dari aka­un UMNO Bahagian Baling untuk tujuan pembayaran zakat dan menga­dakan pelbagai pro­­gram sempena Ra­ma­dan,” katanya.
Menurut Abdul Azeez yang juga Pe­ngerusi Lemba­ga Tabung Haji (Tabung Haji), wang tunai dari pelbagai negara itu pula merupakan baki daripada lawatan dan kunjungannya ke luar negara sebelum ini.
Katanya, SPRM turut merampas lapan utas gelang dan rantai milik isterinya serta beberapa utas jam tangan beliau untuk tujuan siasatan.
Tambah Abdul Azeez, beliau bersedia memberi kerjasama penuh terhadap SPRM selain telah menduga kejadian itu akan berlaku kerana telah heboh menyebut nama­nya akan disiasat.
“Buat masa ini, SPRM tidak memanggil saya untuk soal siasat lagi tetapi saya sudah memaklumkan kepada peguam untuk tindakan lanjut,” katanya.
Utusan
 
Copyright © 2014 PenangKini.