BREAKING NEWS

Thursday, 3 May 2018

Dari hati ke hati, Najib tenang berkongsi harapan dan kelemahan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak yang lebih lembut dan tenang dipaparkan dalam satu video kempen yang baru dimuat naik malam ini, dengan mesej “dari hati ke hati’ yang jauh berbeza daripada serangan agresif dan bidasan terhadap seteru politiknya sebelum ini.

Dalam membuat rayuan kepada pengundi untuk sekali lagi memilih pentadbirannya, beliau menyenaraikan pencapaiannya sejak mengambil alih tampuk pentadbiran negara pada 2009 – dari perkhidmatan kesihatan yang baik kepada memastikan belia yang terlatih dan berpendidikan tinggi.



Najib turut akui kelemahan dirinya dan berkata tidak semua yang diusahakannya berjaya dilaksana, di sebalik cabaran politik paling sengit dihadapinya sepanjang 3 tahun lalu membabitkan dakwaan salah urus idea cetusannya, 1MDB.



“Saya sedar diri saya memang ada kelemahan, seperti manusia biasa. Mungkin ada yang terlepas pandang. Segala kritikan diterima dengan hati yang terbuka, dan akan terus memperbaiki diri saya sebaik mungkin.

“Namun ada juga tuduhan yang melulu dan tidak benar dan tidak berasas sama sekali. Saya dengan rendah diri meminta agar rakyat fahami dan tidak beranggapan buruk secara terus menerus,” kata Najib.

Dalam video 3 minit yang disiarkan di laman Youtube miliknya, pengerusi Barisan Nasional itu menyentuh tentang aspek kesihatan, pendidikan, pekerjaan, perumahan, modal insan dan pembangunan rohani.

Menurutnya, setiap rakyat Malaysia perlu dijaga dengan kemudahan kesihatan yang baik sejak lahir, di samping melengkapkan anak muda dengan kemahiran dan modal insan.

Video ini tampak berbeza dengan gaya serangan Najib terhadap pengkritiknya, terutama seteru ketatnya Tun Dr Mahathir Mohamad, yang kini memimpin Pakatan Harapan.

Najib sebelum ini sering merujuk usia Dr Mahathir dan skandal-skandal lampau, sambil menyerang pakatan pembangkang sebagai sebuah gabungan yang tidak akan bertahan lama.

Kali ini, beliau memberitahu pengundi: “Saya sayangkan setiap rakyat Malaysia dan memikirkan tentang masa depan saudara-saudari sekalian. Segala apa yang saya lakukan adalah untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat.”

Empat hari lalu, satu video 10 minit penuh emosi dimuat naik Dr Mahathir di laman Facebooknya, di mana bekas perdana menteri itu memberitahu 2 anak kecil bahawa dalam masanya yang semakin suntuk, dia mahu membetulkan kesilapan lalu.
 
Copyright © 2014 PenangKini.