BREAKING NEWS

Saturday, 19 May 2018

Dipersilakan keluar, jika tak mahu bersama BN - Bung Moktar

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, parti komponen Barisan Nasional (BN) yang tidak mahu bersama gabungan itu supaya meninggalkan mereka secepat mungkin bagi mengelakkan wujud musuh dalam selimut.

“Umno masih kukuh di akar umbi yang menjadi tulang belakang BN. Kita boleh lihat parti lain tidak menyumbang apa-apa, jadi apa ‘point’ mereka kekal dengan kita?

“Lagi baik mereka tinggalkan BN seawal mungkin supaya kita tidak ada musuh dalam selimut,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.

Tanpa memetik nama parti komponen BN, beliau mengulas kebimbangannya perpecahan bakal berlaku dalam BN ekoran kekalahan teruk pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, tiada paksaan dalam perkara itu.



“Kita tidak minta sesiapa keluar, tapi siapa yang mahu bersama kita akan teruskan, siapa yang mempunyai hasrat nak keluar, dipersilakan.

“Walaupun kita akan jadi kumpulan yang kecil, sekurang-kurangnya kita kuat akan bantu kemenangan parti.”

Mengulas peletakan jawatan Ketua Umno Bahagian Balik Pulau, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya dalam semua jawatan Umno dan BN, Bung menjangkakan lebih ramai pemimpin parti itu mengambil tindakan sama.

“Saya rasa ramai lagi akan berbuat demikian. Saya dengar sebelum ini ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu (akan mengambil tindakan sama dengan) Dr Helmi. Tapi ia tidak ada masalah kerana pemimpin datang dan pergi, namun parti mesti diteruskan.”

Dr Hilmi mengumumkan peletakan jawatan dalam Umno dan BN berkuat kuasa semalam, susulan kekalahan teruk parti itu pada 9 Mei lalu.

Letak jawatan Felcra akhir Mei

Sementara itu, Bung mengesahkan beliau akan melepaskan jawatan pengerusi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Pesekutuan (Felcra Berhad).

Katanya, surat peletakan jawatan itu akan diserahkan akhir bulan ini.

“Saya akan menghantar surat peletakan jawatan insya Allah hujung bulan ini.”

Semalam, Majlis Penasihat Kerajaan menemui Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Datuk Zulkarnain Md Eusope hampir sejam bagi membincangkan operasi serta prestasi badan berkanun itu.
 
Copyright © 2014 PenangKini.