BREAKING NEWS

Tuesday, 15 May 2018

Gerakan Pulau Pinang masih mahu Teng teraju parti

Gerakan Pulau Pinang mahu Teng Chang Yeow yang meletak jawatan pada Rabu lepas terus menerajui parti itu.

Naib Pengerusinya Oh Tong Keong berkata ini kerana mereka berpandangan kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) minggu lepas bukan berpunca daripada kelemahan kepimpinan Teng sebaliknya disebabkan tsunami rakyat.

“Demi meneruskan perjuangan parti, kami amat memerlukan seorang pemimpin yang berbakat, berkebolehan dan berkaliber untuk memimpin kami dan buktinya anggota-angota parti di semua 13 bahagian mahu Teng kekal menerajui parti dan berjuang membantu rakyat Pulau Pinang,” katanya pada sidang media hari ini.



Oh berkata Gerakan Pulau Pinang juga akan mengadakan mesyuarat khas minggu depan bagi membincangkan perkembangan semasa dan hala tuju parti.

“Jika Teng bertegas tidak mahu memegang jawatan (Pengerusi Gerakan negeri) itu, terserah kepada anggota parti untuk membuat pilihan pada pemilihan parti yang akan diadakan September ini,” katanya.



Teng yang menerajui gerakan Pulau Pinang sejak 2013 meletak jawatan itu selain menyatakan mahu bersara daripada politik sejurus selepas keputusan PRU14 diumumkan yang menyaksikan parti berkenaan mengalami kekalahan teruk.

Pada PRU itu, Gerakan Pulau Pinang bukan sahaja gagal memenangi sebarang kerusi, tetapi BN negeri juga kehilangan 8 daripada 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 1 daripada 3 kerusi Parlimen yang dimenangi pada PRU13, kesemuanya menerusi Umno.

Mereka hanya berjaya mempertahankan DUN Sungai Dua dan Permatang Berangan serta kerusi Parlimen Tasek Gelugor dan Kepala Batas.
 
Copyright © 2014 PenangKini.