BREAKING NEWS

Wednesday, 23 May 2018

Harga daging tempatan naik di Kedah

ALOR SETAR - Harga daging tempatan di sesetengah tempat di negeri ini meningkat hingga mencecah RM36 sekilogram dan membebankan pengguna.

Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (Cake) Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, antara yang paling tinggi ialah di Sungai Tiang dan Paya Mat Inson di Pendang iaitu RM35 hingga RM36 sekilogram, berbanding harga biasa RM32 sekilogram.


Katanya, turut berlaku kenaikan ialah di Jalan Datuk Kumbar dan Jalan Hutan Kampung di daerah Kota Setar iaitu dari RM34 hingga RM35, termasuk juga di Kulim/Bandar Bharu dan Langkawi.

"Kita bertindak atas aduan diterima dan pemantauan bersama Gerakan Pemantau mendapati ada kawasan naik dan ada yang masih kekal pada RM30 hingga RM33 seperti di Pasar Besar Alor Setar. Dakwa peniaga mereka dapat lembu hidup dengan harga mahal," katanya selepas mengadakan pemantauan harga barang sempena Ramadan di Pasar Besar Alor Setar, di sini, hari ini.

Beliau berkata, harga lembu hidup ketika ini turut naik mendadak hingga RM5,000 seekor berbanding RM4,000 seekor, ekoran daripada bekalan berkurangan. - Bernama
 
Copyright © 2014 PenangKini.