BREAKING NEWS

Wednesday, 2 May 2018

Izzah Akui PKR Mungkin Tewas di Permatang Pauh

PERMATANG PAUH - PKR secara terbuka mengakui mungkin tumbang di kerusi Parlimen Permatang Pauh dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Memetik laporan Utusan Malaysia, Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar berkata, ia berikutan tentangan sengit yang diterima oleh Barisan Nasional (BN) dan Pas untuk mempertahankan kawasan itu yang mempunyai lebih 80,000 pengundi berdaftar.

Turut dilaporkan, beliau berkata faktor kekuatan BN dan Pas adalah kerana kedua-dua parti berkenaan mempunyai sejarah yang panjang di situ.

“Saya sangat bimbang jika peratusan keluar mengundi rendah, sebab itu saya kata kita tidak boleh ambil mudah.

“Mereka mempunyai jentera pilihan raya yang sangat kuat di sini, sebab itu kami terpaksa bekerja kuat sejak dua tahun lepas,” katanya dalam sidang akhbar hari ini seperti dilaporkan media berkenaan.

Untuk rekod, kemenangan PKR di kerusi berkenaan sejak Pilihan Raya Umum 1999 sebelum ini dikaitkan dengan ‘ bantuan’ undi penyokong Pas namun sejak 2015, kedua -dua parti itu memutuskan kerjasama politik selepas Pas mendakwa dikhianti PKR dan DAP.
 
Copyright © 2014 PenangKini.