BREAKING NEWS

Tuesday, 8 May 2018

Kajian Invoke Hanya Gimik - Hishammuddin

KLUANG - Kajian yang dibuat pusat kaji selidik propembangkang, Invoke Malaysia mengenai keputusan Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) hanyalah gimik politik semata-mata.

Dan menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Barisan Nasional (BN) akan membuktikan kajian yang dibuat itu tidak benar pada hari pilihanraya nanti.

Katanya, kajian yang dibuat dalam laman sosial boleh diolah untuk mendapatkan keputusan yang diingini.

“Menurut mereka, BN akan tewas di beberapa parlimen negeri ini termasuk Sembrong, Pasir Gudang dan Johor Bahru.

“Kita akan buktikan kajian dibuat mereka tidak benar kerana yang membuat keputusan akhirnya adalah rakyat di peringkat akar umbi, bukan kaji selidik pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Felda Ulu, di sini sebentar tadi.

Calon kerusi Parlimen Sembrong itu turut mendakwa Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli sanggup berkata apa sahaja tanpa sebarang kesedaran semata-mata demi kepentingan diri.

 
Copyright © 2014 PenangKini.