BREAKING NEWS

Monday, 7 May 2018

Kejayaan kami kerana dasar ‘dahulukan rakyat’ pentadbiran Najib - Tony Fernandes

PETALING JAYA: Sebuah video khas menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia, Tony Fernandes menggesa orang ramai untuk membuat “pilihan bijak” pada Rabu ini, sambil menceritakan secara ringkas pengalamannya mengemudi syarikat penerbangan dengan sokongan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

“Saya mulakan perniagaan sayang dengan hanya 2 buah pesawat ketika seluruh dunia mempersoalkan kami. Dalam tempoh 10 tahun, kami lihat kerajaan membantu dan memberi kami peluang untuk menjadikan kami sebagai salah satu daripada jenama antarabangsa yang terbesar di dunia,” kata Tony dalam klip video lebih 2 minit dimuat naik di YouTube.

Beliau melahirkan rasa penghargaan kepada kerajaan atas pelbagai anugerah antarabangsa kepada AirAsia, dan menambah cara kerajaan menangani syarikat seperti AirAsia menunjukkan ia faham “apa yang terbaik untuk Malaysia”.



Menurutnya, dasar perdana menteri untuk “mendahulukan rakyat” adalah teras kepada kejayaan AirAsia yang kini mempunyai 89 juta penumpang berbanding 200,000 satu masa dulu.

“Saya percaya perdana menteri telah mendahulukan rakyat dan membenarkan AirAsia untuk berkembang walaupun mendapat tentangan daripada pelbagai pihak.”

Menurutnya, pentadbiran perdana menteri sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat Malaysia.

Tony kemudian mengajak rakyat Malaysia untuk mengundi berdasarkan fakta dan bukan pelbagai berita yang tidak dipastikan kebenarannya.

“Dan (kisah) AirAsia adalah satu fakta.

“Jadi undilah dengan bijak, dan kita berjumpa pada 10 Mei di AirAsia,” kata Tony.







 
Copyright © 2014 PenangKini.