BREAKING NEWS

Wednesday, 2 May 2018

Kelibat Tsu Koon turun kempen curi perhatian rakyat

Kelibat Tsu Koon turun kempen curi perhatian rakyat
Bekas Ketua Menteri P. Pinang, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon turut membantu kempen Barisan Nasional untuk PRU14 .
PULAU PINANG – Beliau bukanlah calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), namun kelibatnya yang bersemangat berkempen untuk Barisan Nasional (BN) di sekitar negeri ini mencuri perhatian penduduk.
Malah, ada penduduk yang tertanya-tanya sama ada Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon kembali bertanding di mana-mana kerusi negeri ini seolah-olah merindui ketika era pentadbirannya di negeri ini.
Bagi Tsu Koon yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, penglibatannya bersama jentera BN dalam program kempen bertemu rakyat adalah sebagai sokongan tidak berbelah-bahagi kepada calon-calon BN di negeri ini khususnya dari Gerakan.
Malah, bekas Pengerusi Gerakan itu juga mengakui teruja untuk memberi sokongan kepada calon-calon muda yang ditampilkan BN Pulau Pinang kali ini yang disifatkan memenuhi kriteria pemimpin pelapis masa depan.
“Saya sudah bersara tetapi kembali semula untuk menyokong calon-calon muda Gerakan dan BN yang bertanding.
“Saya merayu penduduk negeri ini memberi peluang kepada pemimpin pelapis ini untuk menjadi wakil rakyat mereka seterusnya mewujudkan situasi seimbang dalam pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika menyertai kempen turun padang bertemu rakyat calon-calon BN di Mount Erskine, Tanjong Bunga di sini hari ini.
Dalam pada itu, Tsu Koon yang menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang dari 1990 hingga 2008 membidas DAP yang menjadikan isu bukan anak tempatan dalam kalangan calon BN sebagai modal kempen mereka.
Menurutnya, DAP sepatutnya mencermin diri dan melihat gelagat pemimpin mereka sendiri termasuk Penasihatnya, Lim Kit Siang yang melompat ke beberapa kerusi di seluruh negara untuk mencari kawasan selamat.
“Calon Gerkaan meskipun ada yang bukan lahir di Pulau Pinang, namun mereka menetap di negeri ini untuk satu tempoh cukup lama.
“Bukan seperti calon-calon DAP yang seperti katak, hanya melompak (berpindah kerusi) dan menabur janji tetapi tidak ditepati,” katanya. – theRakyat
 
Copyright © 2014 PenangKini.