BREAKING NEWS

Wednesday, 9 May 2018

Kertas undi tak dicop berita palsu, kata pengerusi SPR

PUTRAJAYA: Hasil semakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapati isu kertas undi tidak dicop yang berlaku di sebuah pusat mengundi tidak benar, sebagaimana yang tular di media sosial, kata Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

Menurut beliau, sekiranya ada berlaku kesilapan ia adalah kes terpencil dan pengundi tidak perlu bimbang jika kertas undi berkenaan dikeluarkan secara sah.

“Jika Ketua Tempat Mengundi (KTM) berpuas hati bahawa kertas undi dikeluarkan secara sah dan ia hanya kesilapan petugas dalam salurannya, maka KTM berkenaan tidak boleh menolak mana-mana kertas undi apabila ia dikeluarkan secara sah,” katanya di Menara SPR, hari ini.

Beliau menasihatkan pengundi tidak terpedaya dengan mesej tular kononnya SPR melakukan penipuan kerana proses itu disaksikan semua pihak berkepentingan termasuk ejen calon.



Hashim percaya mesej tular berkenaan hanya bertujuan untuk menimbulkan situasi panik dan curiga di kalangan pengundi terhadap SPR.

Pengerusi SPR itu turut meminta orang ramai membuat laporan polis sekiranya terdapat sebarang aduan mengenai kertas undi, bagi membolehkan SPR menjalankan siasatan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas rungutan pengundi terdapat titik hitam pada kertas undi.

“Apa yang penting bagi SPR ialah mengenal pasti pengundi nak pangkah siapa. Bagaimanapun, SPR akan menyiasat isu itu berlaku di sekolah dan pusat pengundian mana,” katanya.

Mengulas rakaman video seorang remaja ditangkap kerana mengedar kertas undi palsu di luar sebuah pusat mengundi di Port Dickson, Negeri Sembilan, beliau berkata jika perkara itu benar, laporan polis boleh dibuat.

Berbaki beberapa jam lagi tempoh pengundian ditutup, Hashim menjangkakan serangan mesej tular palsu dan tidak bertanggungjawab akan terus disebarkan.

“SPR berharap orang ramai khususnya pengundi tidak terpengaruh dan terpedaya dengan mesej yang cuba menimbulkan suasana panik,” katanya.

Sebanyak 8,253 pusat mengundi dibuka serentak di seluruh negara bermula 8 pagi hingga 5 petang, dengan 28,115 tempat mengundi atau saluran termasuk di bangunan sekolah, dewan serbaguna dan balai raya.

Seramai 14,449,200 orang daripada jumlah keseluruhan 14,940,624 berkelayakan sebagai pengundi biasa mengundi hari ini, manakala selebihnya ialah pengundi pos dan pengundi awal.
 
Copyright © 2014 PenangKini.