BREAKING NEWS

Sunday, 6 May 2018

Maju atau mundur Malaysia adalah di tangan kita – Tun Abdullah

Maju atau mundur Malaysia adalah di tangan kita – Abdullah
Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang dijadualkan berlangsung pada 9 Mei ini bukanlah satu perjudian mempertaruhkan nasib atau menukar haluan semata-mata kerana tidak puas hati dengan beberapa isu, kata Tun Abdullah Ahmad Badawi
KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang dijadualkan berlangsung pada 9 Mei ini bukanlah satu perjudian mempertaruhkan nasib atau menukar haluan semata-mata kerana tidak puas hati dengan beberapa isu.
Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, ini kerana dalam PRU bakal menentukan keupayaan negara dan masyarakat menghadapi cabaran-cabaran baru yang tidak pernah dialami sebelum ini.
Pilihan raya juga akan menentukan kerajaan yang akan menjaga dan memacu negara di masa depan – sama ada negara akan terus maju, makmur dan aman bakal ditentukan oleh kerajaan yang akan dibentuk pada tahun 2018 ini.
Lantaran itu, beliau mengingatkan calon-calon pilihan raya kali ini bahawa menawarkan diri bukan semata-mata untuk meraih, merampas atau mengekalkan kuasa memerintah tetapi untuk diberi peluang berbakti kepada rakyat dan negara.
“Semua calon mesti cukup berwibawa dan berhemah tinggi dalam menawarkan diri, dasar atau ideologi masing-masing untuk penilaian rakyat.
“Bukan tuduh menuduh membakar kemarahan rakyat semata-mata meraih sokongan. Yang penting adalah rakyat bukan agenda atau cita-cita politik seseorang individu.
“Calon dan parti-parti yang bertanding hendaklah menjiwai erti demokrasi secara rasional. Bukan demokrasi berasaskan emosi dan kemarahan,” kata bekas Perdana Menteri Malaysia kelima itu.
Menurut beliau, memilih mereka yang sekian lama berlainan fahaman politik tetapi berganding bahu semata-mata untuk meraih kuasa memerintah bukanlah sesuatu pilihan yang waras.
Katanya, Malaysia berada di ambang negara maju sepenuhnya dengan rakyat berpendapatan tinggi tidak boleh mengelak daripada kesan-kesan globalisasi.
Semua cabaran ini perlu ditangani oleh sebuah kerajaan kuat, stabil dan bepengalaman yang hanya boleh didirikan di atas mandat kukuh oleh pemimpin-pemimpin yang benar-benar dapat bekerjasama dan berkongsi aspirasi dan cita-cita yang sama untuk negara dan kebaikan rakyat.
Sama ada ekonomi negara akan terus makmur seperti yang kita kecapi selama ini, masa depan generasi muda dan tua terus cerah dan negara terus selamat, aman, makmur atau mundur bakal ditentukan pada 9 Mei ini.
Sehubungan itu, Abdullah mengajak semua rakyat Malaysia melaksanakan hak demokrasi masing-masing dengan aman dan penuh tanggungjawab tanpa sebarang sengketa.
“Marilah kira membina tamadun negara dan bangsa mengikut cara yang menyerlahkan integriti dan keimanan peribadi yang tinggi.
“Yakinlah maju mundur, kaya miskin dan hina mulianya bangsa adalah di tangan kita,” katanya yang berdoa agar PRU ini diadakan dengan lancar, aman dan selamat. – theRakyat
 
Copyright © 2014 PenangKini.