BREAKING NEWS

Saturday, 26 May 2018

#MansuhTol Dilema Buat Kerajaan Pakatan Harapan


  • Terdapat 31 lebuhraya bertol dalam negara ini.
  • Sehingga tahun 2010, RM383.3 bilion diperlukan untuk ambil alih semua lebuhraya.

Pada minggu lalu, Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) bertemu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional Berhad iaitu pemegang saham terbesar syarikat konsesi tol terbesar negara, Projek Lebuhraya Usahasama Bhd (PLUS). Pertemuan ini untuk membincangkan langkah penstrukturan semula tol.

Setakat ini belum dapat dipastikan sama ada tol akan dimansuhkan sepenuhnya atau dibuat secara berperingkat tetapi menurut kenyataan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Tun Daim Zainuddin akan mengumumkan keputusan kerajaan berhubung bayaran tol pada masa terdekat.


Kebimbangan yang timbul mengenai langkah kerajaan berhubung tol adalah berkaitan sumber pendapatan kewangan negara dan kesannya kepada syarikat-syarikat konsesi. Sekiranya kerajaan memutuskan untuk memansuhkan bayaran tol sepenuhnya, dibimbangi kerajaan persekutuan akan dibebani dalam perbelanjaan fiskal.

Kerajaan perlu membayar harga yang tinggi untuk ambil alih tol. Kredit: FMT

Selain itu, kerajaan juga terpaksa membayar harga yang terlalu tinggi untuk mengambil alih aset lebuhraya itu serta turut menanggung obligasi hutang syarikat konsesi tol. Menurut kajian yang dibuat oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) pada tahun 2010, kos keseluruhan untuk mengambil alih semua lebuh raya dalam negara ini kira-kira RM383.3 bilion.

Di samping itu, CIMB Research pula menyatakan, Pakatan Harapan lebih awal menjangkakan pengambilalihan semua lebuhraya dengan menggunakan klausa pengambilalihan (expropriation clause) hanya sekitar RM50 bilion tetapi anggaran kos ambil alih terkini tidak diketahui.

Tatkala pemansuhan bayaran tol akan memberi manfaat kepada pengguna dan mengurangkan tekanan kerana peningkatan kos sara hidup, para pengkritik percaya langkah itu akan mengundang pula ketegangan kewangan kepada kerajaan jika bayaran tol yang dimansuhkan itu tiada pengganti kepada sumber pendapatan besar yang lain.

Menurut angka-angka yang dikeluarkan Bond Price Agency Malaysia pada 23 April lalu, jumlah keseluruhan bon tertunggak daripada pelbagai syarikat konsesi tol adalah sebanyak RM55.3 bilion. Maknanya kerajaan Pakatan Harapan perlu membayar lebih RM55 bilion hanya untuk mengambil alih hutang syarikat konsesi sebagai pelengkap kepada pengambilaihan operasi tol dalam negara dan ini tidak termasuk dengan kos untuk mengambil alih aset.

KWSP mahu penyelesaian komprehensif. Kredit: The Malaysian Times

Dalam laporan berasingan, Maybank Investment Bank Research mendedahkan, jika kerajaan mahu mengambil alih semua hutang tertunggak dan ekuiti pemegang saham,  kira-kira RM79 bilion perlu disediakan sebagai pampasan yang paling minimum dengan menjangkakan secara umumnya nisbah antara hutang dengan ekuiti adalah 70:30.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan pernah berkata penyelesaian yang komprehensif amat diperlukan untuk menangani isu tol lebuhraya ini. Beliau mengingatkan bahawa banyak wang telah dilaburkan melalui pasaran modal. Justeru, wujud keperluan mendesak untuk mengimbangi situasi ini.

Berdasarkan laporan kerajaan,sehingga hujung tahun 2017, terdapat 31 lebuhraya bertol di negara ini.

Pada tahun 2016, sebanyak RM6.82 juta hingga RM1.5 bilion diperlukan untuk operasi tahunan dan kos penyelenggaran di setiap lebuh raya ini. Jumlah kutipan yang telah diperoleh pula antara RM27 juta dan RM2.867 bilion.

Pakatan Harapan pula melalui Bajet Alternatif 2018 telah menunjukkan bahawa langkah membeli semula syarikat konsesi tol akan menyebabkan wujud keberkesanan kos (cost-effective) berbanding dengan membayar pampasan berjadual (periodic compensation) kepada syarikat konsesi tol.

Pakatan Harapan komited mansuhkan tol. Kredit: The Malaysian Times

Walaupun cadangan Pakatan Harapan ini diperkecilkan tetapi sebenarnya langkah memansuhkan bayaran tol bukan sesuatu yang luar biasa di Malaysia. Buktinya, pada tahun ini, kerajaan BN sempat menamatkan kutipan tol di empat lebuhraya iaitu Batu Tiga, Shah Alam dan Sungai Rasau di Selangor, Bukit Kayu Hitam di Kedah dan Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL) di Johor.

Dalam kalangan syarikat konsesi tol pula, langkah populis kerajaan ini sudah pasti akan diberikan perhatian penting.  Ketika ini terdapat sembilan konsesi tol di Malaysia seperti  IJM Corp Bhd , WCE Holdings Bhd , Taliworks Corp Bhd , Ahmad Zaki Resources Bhd , Gamuda Bhd , Bina Puri Holdings Bhd , Ekovest Bhd , Lingkaran Trans Kota Holdings Bhd  (Litrak) and Malaysian Resources Corp  Bhd.

Selain daripada syarikat yang disenarai awam (public-listed) ini, perlu diulangi bahawa dua dana pelaburan kerajaan seperti Khazanah Nasional dan KWSP turut terlibat dalam bisnes konsesi tol apatah lagi kedua-duanya merupakan pemegang saham Projek Lebuhraya Usahasama Bhd (PLUS) iaitu pemilik lima lebuhraya utama termasuklah Lebuhraya Utara-Selatan.

Prolintas hanya menumpukan operasi tol di Lembah Klang sahaja. Kredit: Berita Harian

Syarikat yang tidak disenaraikan seperti Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) yang dimiliki sepenuhnya oleh Permodalan Nasional Bhd juga merupakan operator lebuhraya kedua terbesar di Malaysia. Memang kebanyakan lebuhraya bertol utama dalam negara ini dimiliki oleh PLUS dan Prolintas.

RHB Research Institute berpendapat kesan besar daripada pemansuhan tol ini akan memberi kesan kepada saham syarikat konsesi tol ini. Oleh itu syarat pampasan yang munasabah perlu disediakan. Selain itu,  pemansuhan tol akan memerlukan suntikan tunai satu kali (one-off cash injection) kerana pelupusan aset konsesi tol yang datang daripada perbelanjaan pendapatan daripada kutipan tol.

Hasil yang diperoleh ini akan digunakan untuk mengurangkan hutang dan meningkatkan nilai dividen khas kepada para pemegang saham.

Sementara itu, PublicInvest Research masih pesimis langkah kerajaan ini akan berakhir segera. Sebaliknya, badan penyelidik itu yakin pengambilalihan syarikat konsesi yang bertujuan untuk memansuhkan kutipan tol akan terus berlarutan pada satu tempoh masa tertentu.

Hal ini kerana, isu pampasan yang menjadi perkara utama itu akan mengganggu sentimen para pemain yang disenaraikan seperti Gamuda, IJM Corp, Taliworks dan Litrak serta  syarikat Ekovest dan Bina Puri yang hanya mempunyai sebuah konsesi tol sahaja.
  
Justeru, beberapa janji Pakatan Harapan sebelum ini termasuk pemansuhan tol dijangka akan ditangguhkan bagi memastikan negara berupaya menyelesaikan tanggungan luar biasa sekarang.
 
Copyright © 2014 PenangKini.